Realtime website trackingweb stats

Di negara ini wanita ‘cair’ dengan lelaki rongak, sampai lelaki sanggup cabut gigi depan dan pamer senyuman

Oleh ADINDA

Di negara ini wanita ‘cair’ dengan lelaki rongak, sampai lelaki sanggup cabut gigi depan dan pamer senyuman.

Kebiasaannya mereka yang mempunyai gigi rongak sering menjadi bahan lawak mahupun ejekan orang lain.

Perkara tersebut biasanya diselesaikan dengan bertemu doktor gigi untuk memperbaiki keadaan gigi yang rongak atau hilang itu.

Berbeza pula dengan masyarakat di Afrika Selatan terutama di kawasan Cape Flats yang terletak dalam Cape Town, lelaki yang bergigi rongak tidak akan diperlekeh orang sekeliling.

Bahkan, mereka juga dianggap sebagai lelaki kacak, macho serta maskulin dalam kalangan wanita dan para gadis di sana.

Salah seorang wanita dan penduduk asal di sana yang hanya dikenali sebagai Abena, para wanita sepertinya sukakan lelaki yang mempunyai gigi rompong di depan.

Katanya, lelaki yang barisan giginya rongak amat digilai dan dikatakan senyuman mereka yang ‘tidak cukup pagar’ ini lebih mudah membuat wanita tertarik.

“Disebabkan itu juga, ada yang sanggup membuang tiga hingga empat batang gigi hadapan mereka yang masih sihat dan kuat untuk digilai para gadis.

“Lelaki yang berani membuang gigi hadapan ini dikatakan layak dikategori sebagai pemuda macho dan maskulin.

“Tidak hanya itu, jejaka yang menggayakan gigi sebegitu juga dianggap lebih kacak, tampan dan bergaya dalam masyarakat. Mereka inilah lelaki yang menjadi idaman dan pujaan hati para gadis di sana,” katanya.

Tambah Abena, maka tidak hairanlah jika di kawasan penempatannya itu begitu ramai lelaki muda yang bersungguh-sungguh tersengih dan melemparkan senyuman untuk menunjukkan gigi rongak masing-masing.

“Ia seolah-olah seperti satu isyarat untuk memberitahu kepada orang ramai, terutama para gadis bahawa mereka ialah lelaki tampan dengan gigi rompong yang dicari-cari selama ini.

“Tradisi gigi rongak di Cape Town juga disebut sebagai ‘Cape Flats Smile’. Asalnya, ia merupakan satu amalan tradisi yang dimulakan sejak lebih 60 tahun dahulu.

“Tradisi ini dikatakan bermula dalam kalangan nelayan yang tidak dapat berkomunikasi sesama mereka di atas kapal.

“Jadi, mereka mencipta jurang gigi sebagai memudahkan untuk bersiul, seterusnya dapat berkomunikasi dengan berkesan,” ujar Abena lagi.

Di negara ini wanita 'cair' dengan lelaki rongak, sampai lelaki sanggup cabut gigi depan dan pamer senyuman.Kebiasaannya mereka yang mempunyai gigi rongak sering menjadi bahan lawak mahupun ejekan orang lain.
Lelaki muda di Cape Flats sanggup membuang barisan beberapa batang gigi hadapan.

Pada masa sama, seorang pakar di Jabatan Biologi Manusia dari University of Cape Town’s, Jacqui Friedling turut mengkaji fenomena tersebut pada tahun 2003.

Katanya, pengubahsuaian gigi di Afrika awalnya hanya diamalkan oleh suku kaum tertentu.

Namun akibat perubahan masa, amalan itu telah menjadi trend yang semakin diminati dalam kalangan pemuda di wilayah tersebut.

“Golongan lelaki muda di situ yakin dengan penampilan gigi hadapan yang rompong itu yang dipadankan pula fesyen topi dan pakaian ala hip-hop, mampu mencairkan hati para gadis yang melihatnya.

“Bagi mereka, gigi rongak ialah fesyen. Ia merupakan satu perkara yang bergaya untuk dilakukan,” katanya.

Tambah Friedling, gaya itu disukai para pemuda di wilayah tersebut disebabkan tekanan daripada rakan sebaya dan cara untuk melepaskan tekanan adalah dengan mencabut gigi hadapan.

“Dalam temu bual dengan lebih 2,000 lelaki di kawasan itu yang ‘kaya’ dengan budaya ini, sebanyak 41 peratus telah mengubah suai gigi mereka.

“Sebanyak 42 peratus melakukannya berpunca daripada tekanan rakan sebaya, manakala 10 peratus pula didorong oleh amalan samseng, salah satu masalah yang sinonim di Cape Flats,” ujarnya.

Menurut doktor dari Fakulti Pergigian di University of the Western Cape, Rob Barry, amalan itu telah meningkat, walaupun larangan mencabut gigi yang sihat telah pun dikeluarkan.

Malah, setiap minggu dia mendapat permintaan untuk merompongkan gigi dengan begitu banyak.

Katanya, mereka yang datang melakukannya bukan sahaja dalam kalangan lelaki, tetapi golongan wanita turut berbuat demikian.

“Golongan ini biasanya meminta doktor untuk mencabut gigi depan yang sihat, sekali gus membuat gigi palsu. Gigi palsu ini pula akan dipakai semasa kerja atau ketika menghadiri urusan rasmi.

“Bagi gigi palsu, kadangkala mereka menghiasinya dengan menambahkan cebisan emas, berlian atau platinum dalam pelbagai bentuk.

“Cara ini kononnya dapat menaikkan status sosial. Disebabkan itu juga, tidak hairanlah banyak kes melibatkan kecurian gigi palsu turut dilaporkan di wilayah tersebut,” katanya.

Baca:

Muka wanita jadi hitam lepas pakai krim pemutih, ini tiga cara kesan produk pencerah ada merkuri

Kereta Elektrik Rolls-Royce Spectre dilancar di Malaysia, harga permulaan buat ramai telan air liur

Kantoi kikis duit suami orang sampai bercerai berai, rupanya ini perangai isteri baru ND Lala