Demi ular saya rela single

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Bukan setakat sudah biasa dipatuk berkali-kali, malah dia pernah menolak permintaan lima gadis yang ingin berkahwin dengannya hanya kerana ular.

Itu yang berlaku kepada penjinak ular, Mohd Fauzi Sarwani Seman, 38, yang popular dengan gelaran Fauzi Ular.

Gambar: menunjukkan penjinak ular, Mohd Fauzi Sarwani Seman, 38, yang popular dengan gelaran Fauzi Ular bersama ularnya.

Fauzi berkata, dia mengambil keputusan tinggal serumah dengan tiga ular termasuk seekor ular sawa Burma albino seberat 100 kilogram dengan panjang lebih empat meter.

Katanya, selain sawa albino yang diberi nama Miko, dua ekor lagi ialah sawa ‘ball pyhton’ dan sawa batik masing-masing seberat dua kilogram dengan panjang satu meter.

“Sebelum ini memang ada gadis yang menawarkan diri menjadi isteri, kebanyakannya yang hadir ke persembahan saya, mereka kata tidak kisah untuk memelihara ular bersama saya.

“Namun, buat masa ini saya belum terbuka hati menerima mana-mana wanita kerana menumpukan perhatian untuk memelihara dan menjinakkan ular,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Naga, Ulu Bertam, di sini.

Fauzi berkata, dia turut memikirkan beberapa risiko lain seperti kesediaan suri rumah tangga yang perlu hidup bersama ular selain pendapatan bergantung pada haiwan eksotik itu seperti bergambar bersama ular di rumahnya atau kawasan acara dan bekerja kampung.

Katanya, ini kerana dia memilih tinggal di kawasan pedalaman kampung yang dekat dengan kawasan hutan bagi memudahkan dia menangkap ular dan berada dekat dengan habitat reptilia itu.

Fauzi turut mempunyai lesen menyimpan hidupan liar yang dilindungi daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang diperbaharui setiap tahun.

Dia berkata, dia mula bermain ular sejak usia 10 tahun selepas menonton filem Hindustan mengenai ular sehingga mencetus minatnya.

“Saya pernah menangkap lebih 1,000 ekor ular pelbagai spesis termasuk jenis berbisa seperti tedung selar, tedung senduk, ular kapak dan katam tebu.

“Malah, saya pernah 13 kali dipatuk ular ketika menangkap dan membuat persembahan hingga salah satunya menyebabkan saya berada di hospital selama dua minggu dan mengambil masa berbulan-bulan untuk sembuh,” katanya.

Dia turut mempunyai parut kesan gigitan ular di lengan kiri dan kanan, tangan serta kaki kanan yang kekal hingga kini.

Gambar: Mohd Fauzi menunjukkan parut akibat dipatuk ular berbisa. 

“Kebanyakan patukan ular tedung selar jadi saya ambil keputusan berhenti menangkap dan bermain ular jenis itu demi keselamatan diri,” katanya yang mempelajari ilmu menjinakkan ular daripada televisyen dan pembacaan buku saja.

Fauzi berkata, ular yang ditangkap pula selalunya di rumah kediaman penduduk yang menghubunginya sebelum diserahkan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) atau Perhilitan.

Menurutnya, jika kawasan tangkapan ular itu berdekatan kampungnya, dia melakukannya secara percuma manakala jika di luar kawasan, dia mengenakan bayaran atas persetujuan bagi kos minyak kereta untuk ke lokasi.

Katanya, dia kini menurunkan ilmu menjinak ular kepada lima murid yang tinggal di Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu.

“Saya ajar taktik kenal pergerakan ular, cara kenal ular berbisa atau tidak, tangkap ular kami guna tangan kosong saja, yang penting jangan was-was,” katanya.

Sumber: Harian Metro
Sumber Gambar: Nor Amalina Alias

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
Email NextStepMalaysia: [email protected]