TULAR di media sosial kononnya usahawan Datuk Seri Adnan Abu kini sudah bertemu teman pengganti dan bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Ika dari Terengganu.
Tampil menjelaskan hal tersebut, bekas suami kepada penyanyi Adira ini memberitahu apa yang diperkatakan itu hanyalah sekadar gurauan untuk menghiburkan pengikut di platform berkenaan.
Adnan atau mesra disapa Datuk Red, 46, juga memberitahu wanita tersebut hanyalah sekadar rakan dan bukan teman wanita seperti sangkaan ramai.
“Jika siapa yang sering mengikut saya di sosial media pasti tahu ia hanya gurauan sahaja. Sekadar untuk hiburkan hati sendiri dan follower.
“Ika itu pun hanyalah kenalan saya. Tak perlulah saya nak komen. Tiada apa yang serius pun,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Sebelum ini, klip video Adnan berkongsi kisah perkenalannya dengan seorang wanita menjadi bualan ramai sehingga ada yang salah anggap dia bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Adnan berkata soal mencari teman hidup baharu bukanlah fokus utama dalam hidupnya kerana dia kini sedang dalam fasa memperkukuhkan perniagaan yang diusahakan secara atas talian.
“Hidup saya pun tidak tentu arah. Saya mahu perbetulkan diri saya dahulu dan tidak terfikir pun nak cari pengganti. Siapalah yang mahukan lelaki bankrap seperti saya ini.
“Saya juga perlu menghormati tempoh edah sekarang ini,” ujarnya.
Berkongsi perkembangan terkini, Adnan memberitahu dia belum mempunyai tempat tinggal tetap dan masih melakukan perniagaan secara atas talian di dalam kereta.
“Saya mahu cari tempat tinggal yang betul-betul sesuai dan dekat dengan kedua-dua bekas isteri supaya mudah meluangkan masa bersama anak-anak ketika hujung minggu.
“Salah seorang bekas isteri beritahu dia bakal berpindah rumah, jadi saya tunggu dahulu sebelum dapatkan tempat tinggal yang sesuai,” jelasnya.
Untuk rekod, Adnan dan Adira sah bercerai talak satu pada 24 April lalu selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Adnan kemudian bercerai dengan Sharifah Norshafila pada 14 Mei.
Hasil kedua-dua perkahwian itu Adnan dikurniakan sembilan orang cahaya mata.
BACA: Posting tentang cari suami beriman disalah erti, ini penjelasan Nora Danish