Dapat payung emas hidup bermadu, rupanya tiada sepotong ayat al-Quran pun tentang ganjaran itu.
Selalu kita dengar kononnya isteri yang membenarkan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas di akhirat nanti.
Rupa-rupanya, tiada sama sekali walau sepotong ayat al-Quran atau hadis yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana didakwa.
Ikuti penjelasan daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang berhubung ‘payung emas’ ini:
Segala pujian hanya untuk Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW. Terima kasih atas persoalan yang diajukan.
Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Quran ataupun hadis tentang payung emas. Ini bermakna, payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar.
Di dalam al-Quran memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan suami dan isteri, tetapi payung emas tidak disebut sama sekali.
Begitu juga dalam hadis, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga.
Contoh ayat al-Quran yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah:
Firman Allah SWT: “Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka.” [An-Nisa:34]
Di dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya dan taat kepada suaminya.
Masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki.” [Riwayat Ibn Hibban, 9/471]
Kesimpulannya, terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan hadis yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga serta hubungan suami dan isteri.
Namun, tidak terdapat sepotong ayat al-Quran atau hadis yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana didakwa.
Baca:
Kecoh netizen Indonesia marahkan Malaysia, tuduh ciplak lagu Halo-Halo Bandung
Sedar tak tempoh menunggu di hospital dah makin singkat? Jauh sangat beza dengan sebelum ini
Wanita ini kongsi realiti sebenar kerja di Korea, terus tak jadi nak pergi