Satu panduan baru dalam pengiklanan dan promosi telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pemilihan makanan yang berkhasiat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa panduan yang dikenali sebagai Garis Panduan Logo MyIklan sedang dilaksanakan secara sukarela dengan kerjasama industri makanan dan minuman (F&B).
Beliau juga menyatakan bahawa panduan ini melibatkan syarikat pengiklanan dan penyiaran dalam iklan yang mereka siarkan.
“Langkah ini akan dapat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia dalam mengenali makanan dan minuman yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula.
“Pada masa sama, pihak KKM akan mengkaji kesesuaian pelaksanaan kawalan pengiklanan makanan dan minuman yang tidak sihat secara mandatori berdasarkan kejayaan pelaksanaan Garis Panduan Logo MyIklan ini.
“Ia bagi memastikan kawalan terhadap pengiklanan ini lebih menyeluruh dan bersasar,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein (BN-Sembrong) yang ingin tahu apakah KKM merancang untuk mengawal iklan dan promosi makanan yang kurang berkhasiat di negara ini.
Untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, Dr Dzulkefly menyatakan bahawa KKM telah mengembangkan satu pangkalan data yang dinamakan Profil Nutrien 1.0. Pangkalan data ini menetapkan jumlah lemak, garam, dan gula yang dibenarkan dalam kategori produk makanan.
Beliau menjelaskan bahawa pangkalan data tersebut akan digunakan sebagai panduan untuk menentukan jenis makanan dan minuman yang boleh diiklankan.
Pada masa yang sama, katanya KKM telah melaksanakan pelbagai strategi untuk mengatasi masalah obesiti di negara ini, termasuk melalui Kempen Kurangkan Gula yang dilancarkan pada 29 Oktober 2023.
Melalui kempen yang dijalankan di seluruh Malaysia, KKM mengetengahkan slogan ‘1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik!’.
“Kempen ini disusuli dengan pelaksanaan Pelan Advokasi Inisiatif Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia, 2023-2025 untuk dijalankan mengikut mekanisme yang ditetapkan.
“Selain itu, advokasi pemakanan sihat diberikan kepada rakyat secara berterusan secara berterusan melalui pelbagai platform. Antaranya melalui Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia yang disambut pada April setiap tahun.
“Di samping itu, Kempen Makan Sayur dan Buah serta advokasi Pinggan Sihat Malaysia melalui konsep ‘Suku Suk Separuh’ akan terus dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Untuk mendorong gaya hidup yang sihat, Dr. Dzulkefly menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meningkatkan usaha untuk mewujudkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dari tahun 2020 hingga 2030.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan pengetahuan kesihatan masyarakat supaya mereka dapat membuat keputusan yang lebih baik tentang kesihatan mereka.
Baca:
Individu pertama renang solo 12 jam tanpa henti sejauh 26.2km
Patutlah kereta tersidai di pam petrol rupanya…, ‘spesis’ begini kena tahu apa orang lain kata
Bahaya rupanya makan banyak kurma kalau dah kena penyakit…, wajib baca nasihat doktor ini