Realtime website trackingweb stats

Dah la premium, harga Proton S70 lagi murah dari Honda City dan Vios

Oleh FATIN AQILAH

Syarikat Proton Holdings Bhd (PROTON) dijangka menetapkan harga lebih rendah untuk model sedan terbaru mereka, Proton S70, berbanding dengan model X50 yang bermula pada harga RM86,000.

Penganalisis dari RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah, menyatakan bahawa harga bagi Proton S70 dijangka akan lebih rendah daripada pesaing utama dalam segmen B, seperti Honda City dan Toyota Vios yang dijual pada harga antara RM85,000 hingga RM90,000.

“PROTON akhirnya berhenti mengeluarkan Proton Exora, dan hal ini menandakan penamatan pengeluarannya selama 14 tahun. Akan tetapi, PROTON telah mula mengeluarkan model S70 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Walaupun tarikh pelancaran rasmi belum diumumkan, PROTON telah mula menerima tempahan untuk model ini. S70 dipasarkan sebagai model segmen C, dan kami percaya kemasukannya ke dalam pasaran akan menimbulkan persaingan lebih sengit dalam segmen ini.

“Kami menjangka Proton S70 ditetapkan pada harga lebih rendah berbanding Proton X50 dan pesaing terkemuka seperti Honda City dan Toyota Vios,” katanya dalam nota penyelidikan.

Media telah melaporkan bahawa PROTON dijadualkan untuk melancarkan Proton S70 dalam masa yang tidak lama lagi.

Model sedan yang sepenuhnya baru dijangka akan tersedia dalam empat varian, iaitu Executive, Premium, Flagship, dan Flagship X.

Model segmen B dengan ciri-ciri segmen C yang ditawarkan dijangka akan menggunakan enjin pengecas turbo 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan, memberikan kelajuan sebanyak 150PS dan tork sebanyak 226Nm.

Sementara itu, Syahril menyatakan bahawa kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan (CKD) dijangka akan diperkenalkan menjelang tahun 2025.

Beliau menyebut, dengan menumpukan kepada kemajuan dalam sektor EV, kerajaan telah menetapkan matlamat menjelang tahun 2025 untuk pengeluar kereta tempatan, seperti PROTON dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), untuk melancarkan model EV pertama mereka.

“Perkara ini sejajar dengan sasaran PROTON untuk melancarkan EV buatan tempatan pertamanya menjelang 2025 manakala PERODUA belum menetapkan garis masa.

“Hal ini juga menandakan harga lantai RM100,000 buat EV import sepenuhnya (CBU) mungkin terus berkuat kuasa sehingga 2025, demi memberi laluan kepada pengeluar kereta tempatan untuk bersaing dengan jenama antarabangsa,” katanya.

Pada masa yang sama, RHB Investment menyatakan bahawa pihak bank pelaburan tersebut tetap pada KEDUDUKAN NEUTRAL terhadap sektor automotif tempatan berdasarkan prestasi tahun 2024 yang tidak pasti kerana gambaran sektor masih kabur.

“Kami masih sedang memuktamadkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2024, namun kami menjangka ia akan menyusut ke paras lebih normal, mungkin dalam lingkungan 600,000 hingga 650,000 unit.

“Risiko negatif utama termasuklah tempahan dan penghantaran kereta lebih rendah daripada yang dijangkakan, dan juga kemunculan isu rantaian bekalan semula. Kejadian yang sebaliknya mendatangkan risiko positif,” katanya.

Baca:

Cikgu Frenerietta punya pasal, ramai mahu jadi anak murid

Lain rupanya maksud ‘menarik rambut dalam tepung’, ini 10 peribahasa Melayu jati buat bakal jenazah

“Sebelum mati kena datang sini sekali” – Datuk Vida buat apa pula di Sabah?