Realtime website trackingweb stats

‘Daddy werk, baby jangan noti-noti!’ – Pempengaruh ini kongsi dua cara atasi pulih masalah bahasa rosak

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Tidak ada tolak ansur sebenarnya untuk setiap warganegara Malaysia menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini.

Malangnya, sebahagian ibubapa Melayu generasi muda sekarang ini pun sudah awal-awal ‘mendidik’ anak dengan bahasa rosak.

Ungkapan ayat dalam bahasa bercampur Inggeris misalnya boleh dengan mudah didengar di tempat awam.

“Daddy werk, baby jangan noti-noti!”. Itu antara lumrah sesetengah masyarakat hari ini seolah-olah bahasa Melayu tiada untuk merujuk kepada “Daddy” dan “kerja”.

Dalam masa sama pendedahan kanak-kanak sejak bayi lagi dengan melayari program berbahasa Inggeris di YouTube, contohnya, perlu diimbangi dengan komunikasi berkesan dalam bahasa Melayu oleh ibu bapa dengan kanak-kanak terbabit.

Jika tidak, mereka akan mengalami masalah lambat bercakap lantaran mengalami kekeliruan bahasa apabila yang didengar dan ditonton tidak sama dengan apa yang berlaku di sekeliling anak-anak kecil itu di alam nyata.

Ikuti pendapat pempengaruh MUHAMAD HARRIS NASRIL ini mengenai pentingnya kefasihan dan pembudayaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan rakyat Malaysia:

Orang Jepun guna bahasa Jepun. Maju. Hebat. Tak mundur pun.

Rakyat kita pula seboleh mungkin guna bahasa Inggeris. Dengan anak pun di rumah bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Daddy werk, baby jangan noti-noti!”

Malu nak bertutur dalam bahasa Melayu.

Bila dia guna bahasa Melayu?

Bila beli nasi lemak.

“Akak, nasi lemak tapau lua. Sambai tak mau.”

Bila beli roti canai.

“Mamak, loti canai lua. Kasi itu banjir wor.”

Bila bergaduh dengan orang lain berlainan bangsa.

“C1bai lu olang. Bug1ma! ”

Bila nak perbaharui pasport, ditanya pegawai imigresen dalam bahasa Melayu, tak tahu nak jawab dalam bahasa Melayu.

“Solly. Me don’t speak Malay” katanya.

Kemudian dia riuh sekampung.

“Saya dimarahi pegawai kerana tak tahu cakap Melayu. Dia suruh saya jadi warga negara jiran! Ini diskriminasi! ” (Terjemahan).

Begitulah realiti.

Bahasa ini perlukan satu perubahan yang besar. Lihat sahaja pemimpin kita, bertutur pun dengan bahasa rojak.

Perubahan itu maha besar. Kita namakan ia Revolusi Bahasa.

Revolusi ini cuma boleh bermula sekiranya kita semua sepakat, bahasa Melayu bukan sahaja bahasa kebangsaan atau bahasa bila mahu pergi pasar, tetapi bahasa Melayu ini bahasa penyatuan.

Langkah pertama, sayangi bahasa kebangsaan.

Langkah kedua, mula seboleh mungkin menulis dengan ejaan penuh tanpa dicampur-adukkan dengan bahasa lain, kecuali dalam keadaan khas.

Dan langkah selebihnya, nanti kita bincang, kita akan bentuk satu persatuan bahasa.

Persatuan ini berlebihan sifatnya (ultra).

Ia akan jadi pendidik dan juga pendesak.

Bahasa ini jiwa bangsa. Hilang bahasa lenyaplah bangsa.

Bersedia?

Baca:

Order makanan percuma ‘ubat’ sakit perut, kejutan ‘hadiah’ Krismas ini buat ramai terhibur

‘Saya tidak dapat menanggung kesakitan!’ – Luahan wanita muda Gaza ini menyedihkan

Pengguna lebuh raya nikmati tol percuma pada 23, 26 Disember, rupanya ada sebab tarikh itu dipilih