Mujur polis dapat menangkap seorang penghantar barang pada 24 Mac lalu memandangkan dadah yang dibawanya boleh diguna oleh 82% penduduk Alor Gajah!
Tangkapan lelaki berusia 45 tahun itu bersama rampasan ganja seberat 41.28 kilogram serta 300 unit cecair ganja memang menggemparkan.
Suspek disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan serta pengedaran dadah termasuk cecair vape mengandungi ganja di Melaka.
Dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Melaka di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan, pada jam 1.35 tengah hari.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, semua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM130,971.
“Semua dadah ini yang dirampas ini dipercayai boleh digunakan oleh seramai 206,405 orang penagih,” maklum beliau menerusi satu kenyataan, hari ini.
Secara perbandingan, penduduk di daerah Alor Gajah berjumlah 251,000 orang.
Menurut Datuk Zainol, hasil risikan dijalankan polis mendapati sindiket berkenaan mula aktif sejak awal 2023.
Jelasnya, semakan rekod yang dijalankan mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang itu mempunyai satu rekod dadah lampau di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ujian saringan air kencingnya adalah negatif.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” tambahnya lagi.
Baca:
Serba salah nak ketawa, gelagat kembar ini gelakkan ‘member’ nak menangis menghiburkan
Ni last ya bang” – Individu luah kesal harga ‘keras’ tapi kuantiti dapat tak berbaloi
DIY sendiri roti john inti selambak di rumah, baru lah puas hati makan!