Realtime website trackingweb stats

Cemas hanya tembakan kedengaran, TMJ bersyukur terselamat insiden tembakan di Bangkok

Oleh NURAIMAN

Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan.

Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.

Itu cerita dikongsikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semasa berdepan detik cemas insiden tembakan di Thailand, semalam.

Tunku Ismail di laman sosialnya berkata, ketika kejadian berlaku, beliau bersama isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam serta pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berada di lobi hotel berhampiran Bangkok Siam Paragon Mall itu.

Menurutnya, beliau melihat sendiri suasana gamat orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mula melepaskan tembakan.

“Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.

“Saya membawa anak-anak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku,” katanya di Facebook HRH Crown Prince of Johor malam tadi.

Menurut Tunku Ismail, beliau masih terbayang sewaktu memberitahu anak-anaknya bahawa keadaan akan kembali tenang dan meminta mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.

Jelasnya, beliau bersama pasukan keselamatannya berdiri di hadapan keluarga menjadi ‘perisai’ bagi melindungi mereka walau apa pun berlaku.

“Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.

“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut,” ujarnya.

Tambah Tunku Ismail, beliau memberitahu pasukan keselamatannya untuk membawa mereka ke Kedutaan Malaysia dan pemandunya memberitahu bahawa kedudukan Kedutaan Singapura lebih berhampiran.

Jelasnya, beliau telah menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor dan kesemua mereka selamat mendapat perlindungan di kedutaan terbabit.

“Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami.

“Setelah semuanya selamat, kami bergerak ke lapangan terbang dan terbang pulang ke Johor. Malangnya, saya terlepas perlawanan JDT tetapi saya bersyukur keluarga saya dan pasukan kami selamat.

“Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. Semoga Tuhan merahmati roh mereka yang tidak berdosa yang maut dalam kejadian itu.

“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,” ujarnya.

Baca:

Tesla sebenarnya buka ibu pejabat bukan kilang, ini 11 fakta wajib tahu elak salah faham

Gah saja Hamid Gurkha dapat anugerah, anak pelawak veteran ini kongsi cerita susahnya tuntut hadiah RM10,000

Isteri wajib tahu 7 tanda ini suami sebenarnya sangat ‘setia’ dengan anda