Lengkuas adalah salah satu jenis rempah ratus yang penting bagi menambah rasa dan aroma dalam masakan khususnya buat masyarakat Melayu.
Walau bagaimanapun, tidak terlalu banyak hidangan yang memerlukan rempah ini sehingga membuatkannya jarang digunakan lalu dibiarkan kecut di dalam peti ais.
Lebih menyukarkan keadaan, saiz lengkuas yang begitu besar turut menjadi faktor penyumbang berlakunya pembaziran setiap kali tumbuhan itu dibeli dari kedai.
Prihatin dengan kegusaran ramai, seorang wanita tampil membuat perkongsian di laman Facebook mengenai petua rahsia bagi menyimpan lengkuas agar tahan lama.
“Ini petua simpan lengkuas. Sengaja kongsi petua dapur. Rasanya ramai yang tahu.
Tetapi tidak mengapalah, Kak Zah nak berkongsi kepada pengikut yang muda-muda.
“Lengkuas ini kegunaannya agak jarang juga kan. Tetapi kalau tiada, tidak sedap pula singgang dan rendang kamu dik. Lengkuas yang dijual di kedai seketul gedabak besar.
“Tetapi setiap kali guna, ambil lima atau enam hiris sahaja. Sini Kak Zah ajar cara nak simpan lengkuas,” katanya yang menggunakan akaun Facebook Faizah Husain.
1. Basuh lengkuas daripada kesan-kesan tanah dahulu. Kemudian, buang kulit dan hiris habis tumbuhan itu. Selepas itu, cuci semula hirisan tersebut sekali lagi.
2. Susunkan hirisan tersebut di atas bekas leper (seperti penutup periuk). Jangan bertindih atau sentuh satu sama lain. Kemudian simpan di dalam peti beku.
3. Apabila lengkuas menjadi keras seperti air batu, keluarkan hirisan itu dan cepat-cepat memasukkannya ke dalam bekas ataupun plastik ziplock sebelum ia berair.
Tujuan dibekukan terlebih dahulu adalah supaya ia tidak melekat antara satu sama lain ketika diambil dari dalam peti. Tidak perlu proses defrost (dinyahbeku) lagi.
4. Simpan semula dalam peti beku. Tahan berbulan-bulan jika tidak digunakan untuk memasak. Lebih mudah berbanding cara rendaman kerana perlu menukar air selalu.
Baca juga: Ada beza ‘guna sebelum’ dan ‘baik sebelum’ tarikh luput barang ramai keliru