Menurut Dr. Tan, tindakan memakai sarung tangan lebih dua bulan kepada bayi boleh menyebabkan tangan bayi lambat berkembang dari segi menulis, melukis mahupun bermain alat muzik.
Semua wanita yang baru sahaja bergelar ibu pasti ingin menjaga bayi mereka dengan sebaiknya.
Malah, pengalaman baharu sebagai seorang ibu juga membuatkan seseorang kadangkala keliru serta tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila menyambut kehadiran ‘orang’ baru.
Yelah, masa inilah baru nak mencuba dan kadangkala bimbang jika satu tindakan itu boleh membuatkan bayi tidak selesa atau mengundang bahaya pada mereka.
Dr. Kongsi Cara Penjagaan Bayi Baru Lahir
Namun usah bimbang, baru-baru ini seorang wanita yang dikenali sebagai Jaja Talib telah berkongsi beberapa tips yang diberikan oleh seorang doktor paediatric di Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang tentang penjagaan bayi.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, doktor yang dikenali sebagai Dr. Tan turut menunjukkan beberapa cara penjagaan rambut bayi, penggunaan sarung tangan dan kaki serta banyak lagi.
Dr. Tan memberitahu Jaja yang ketika itu baru menerima bayi lelaki untuk meletakkan minyak zaitun pada kepala serta cara menggosoknya. Namun disebabkan bayi Jaja mempunyai sedikit bengkak di bahagian kepala, cara gosokan adalah sedikit berlainan.
@jaja_talibThrowback noah ibrahim berusia 1 hari. rindunya nak beranak lagi. Dr Tan is the best!
Letak Minyak Zaitun pada Kepala, Jangan Pakai Sarung Tangan Lebih 2 Bulan
Selain rambut, kening serta belakang telinga bayi juga boleh diletakkan minyak zaitun yang dipercayai berfungsi untuk memberikan kelembutan (moist) serta melebatkan rambut.
Dr. Tan turut menunjukkan cara mencuci mulut bayi dengan betul. Ini kerana mungkin ada segelintir yang tidak mengetahui bahawa meskipun bayi tidak mempunyai gigi, kawasan di dalam mulut seperti lidah perlu dibersihkan. Anda boleh menggunakan kain atau alat khas untuk mencuci mulut bayi.
Tutup Mata Bayi Ketika Potong Kuku, Jangan Pakai Sarung Kaki Selepas 4 Bulan
Manakala bagi cara memotong kuku bayi pula, Dr. Tan menyarankan untuk menutup bahagian mata bayi dengan kain agar serpihan kuku tidak termasuk ke dalam mata.
“Kalau kita potong kuku (bayi) tak boleh bulat, dia kena leper. Kalau bulat akan menyebabkan terkena pada isi kuku dan nanah.
“Sekarang sarung tangan kita pakai daripada belakang ke depan, dan pakai untuk dua bulan sahaja. Untuk sarung kaki pakai selama empat bulan,” katanya.
Pakai Sarung Tangan Terlalu Lama Boleh Menyebabkan Anak Lambat Menulis dan Melukis
Kata Dr. Tan lagi, sekiranya lambat menanggalkan sarung tangan, ia akan membuatkan perkembangan tangannya sedikit terganggu seperti lambat menulis, melukis mahupun bermain muzik.
Manakala pada bahagian dada, beliau tidak membenarkan para ibu untuk memicitnya kerana bimbang susu akan terkeluar dari puting bayi. Perkara itu akan menyebabkan kuman memasuki bahagian puting dan membengkak.
Cara Cuci Bahagian Pusat Bayi
“Cara untuk cuci pusat pula, ambil kapas dan sapu di sekeliling bahagian pusat kemudian ambil satu lagi kapas dan bentukkan tajam di bahagian hujungnya untuk mencuci bahagian dalam.
“Dalam masa dua minggu, tali pusat akan tercabut dengan sendiri. Yang pentingnya jangan berbau serta segi tiga merah.
“Jika ada segi tiga merah, maksudnya ibu perlu mencucinya semula. Ini kerana ia boleh menyebabkan bahagian sekeliling menjadi merah serta mengakibatkan nanah.”
Melihat di ruangan komen, ramai yang suka dengan perkongsian ilmu yang diberikan oleh Dr. Tan. Malah, mereka juga belajar banyak perkara tentang bayi yang baru lahir.
“Bagus Dr, sampai habis saya tengok,” kata seorang pengguna.
Baca Juga:Seiring dengan arus pemodenan, petani siram tanaman guna aplikasi Google tarik perhatian ramai