Realtime website trackingweb stats

Cara mudah bersihkan cermin mata, jangan tahu pakai je

Oleh ABDULLAH HAMID

Biasanya pemakai cermin mata akan membersihkan aksesori tersebut apabila kantanya mula menunjukkan kesan kabur ekoran pengumpulan habuk dan kotoran yang telah menganggu pandangan.

Apabila anda menggunakan cermin mata yang memiliki kanta tidak jelas, ini menyebabkan mata anda terpaksa berkerja lebih keras dan seterusnya, memberikan anda rasa sakit kepala.

Apa yang lebih menakutkan, bakteria akan beranak pinak pada cermin mata yang sudah lama tidak dibersihkan.

‘Menternak’ kuman-kuman ini pada kawasan sensitif seperti hidung dan mata sudah semestinya bukan satu idea yang baik.

Kajian pada 2018 telah mengesahkan bahawa bakteria berbahaya boleh tumbuh pada cermin mata anda, termasuklah bakteria yang menyebabkan jangkitan staph.

Cara mudah bersihkan cermin mata, jangan tahu pakai je

Bahagian pada hidung dan klip telinga telah diuji dan didapati merupakan kawasan yang paling kotor pada cermin mata anda.

Menurut Dr. Jonathan Wolfe, seorang ahli optometri di Ardsley, New York, cucian cermin mata secara pantas sepatutnya dijadikan sebagai rutin penjagaan mata harian anda.

“Perkara ini bergantung terhadap pekerjaan, penjagaan kebersihan peribadi, dan tahap toleransi terhadap kekaburan mata anda.

“Akan tetapi, saya mencadangkan pemakai cermin mata untuk mencuci lensa cermin mata setiap hari dan mencuci bingkainya sekali seminggu,” kata beliau ketika ditemubual Healthline.

Tak renyah pun, ini cara bersihkan cermin mata anda
Pengguna TikTok, KlikDokter (@klikdokter_id) telah menunjukkan cara untuk mencuci cermin mata di rumah.

Sebelum mencuci cermin mata anda, anda perlu mencuci tangan sebersih-bersihnya.

Selepas tangan anda sudahpun bersih, cuci kedua-dua kanta cermin mata dengan menggunakan air suam dan lapkan air dengan menggunakan kain mikrofiber.

Seterusnya, semburkan larutan pembersih cermin mata pada kedua-dua belah kanta. Larutan pembersih ini boleh didapati di kedai cermin mata berdekatan dengan rumah anda.

Setelah menyembur larutan berkenaan, lapkan kedua-dua belah kanta tadi dengan menggunakan kain mikrofiber.

Jika terdapat kesan minyak atau kotoran pada bingkai cermin mata, cuci bingkai tersebut dengan menggunakan sabun bayi ataupun sabun pencuci pinggan mangkuk.

Kemudian, bilas cermin mata yang telah dicuci dengan sabun tadi dengan menggunakan air suam. Biarkan cermin mata anda kering sebelum menggunakan semula.

Apabila kering, anda boleh menyemburkan larutan pembersih cermin mata tadi pada bahagian hidung dan lapkan dengan kain mikrofiber seperti biasa.

Selain membersihkan secara harian ,anda juga dinasihatkan untuk membawa cermin mata anda kepada pakar sekali sekala untuk membersihkannya secara profesional.

BACA: Resepi lempeng kampung, gebu dan lembut boleh buat makan petang dengan air kopi