Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang melaksanakan tindakan pelucutan hak kenderaan
Terhadap pengusaha perkhidmatan sewa kereta haram atau lebih dikenali sebagai ‘prebet sapu’ yang sering mengulangi kesalahan mereka.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi, berkata perbincangan bersama
.Jabatan Peguam Negara (AGC) telah diadakan sejak tiga bulan lalu bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu pesalah berulang ini.
“Kami telah mencadangkan kepada AGC untuk melaksanakan tindakan melucutkan hak ke atas kenderaan yang digunakan bagi perkhidmatan haram ini
. Kami berharap keputusan yang baik dapat dicapai,” katanya dalam sidang media sempena Ops Ulat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Sejak Ops Ulat dimulakan pada 25 November hingga semalam, JPJ telah menahan 15 individu yang disyaki memujuk atau mendesak orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan haram ini tanpa kebenaran sah.
Turut dirampas adalah 15 kenderaan termasuk kereta mewah, kenderaan pelbagai guna (MPV), dan van.
Menurut Jazmanie, kebanyakan pengusaha perkhidmatan haram ini mampu memperoleh pendapatan bulanan antara RM10,000 hingga RM30,000. JPJ menjalankan risikan terlebih dahulu sebelum anggota mereka menyamar sebagai penumpang untuk menangkap mereka ketika melakukan aktiviti tersebut.
“Individu yang ditahan terdiri daripada 11 warga tempatan, seorang lelaki warga Pakistan, dan tiga lelaki warga Bangladesh,” jelasnya.
Beliau menambah, sejak 2022 hingga 3 Disember tahun ini, JPJ telah menahan 469 pengusaha perkhidmatan sewa kereta haram dan mengenakan denda lebih RM1.66 juta.
“Bagi tahun ini sahaja, sehingga 3 Disember, JPJ telah menahan 178 pengusaha dan mengeluarkan denda berjumlah RM554,900,” katanya.
Kebanyakan pengusaha ini, katanya, menyasarkan warga asing yang tidak mengetahui kadar tambang teksi yang sebenar.
“Hasil siasatan mendapati mereka mengenakan bayaran RM100 untuk perjalanan dari KLIA ke hotel di Kota Warisan, Sepang, dan RM300 bagi perjalanan ke Kuala Lumpur,” ujarnya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkhidmatan ‘ulat’
BACA: Fazura minta doakan agar dirinya hamil jadi tanda tanya