Realtime website trackingweb stats

Bukan jin yang bersarang, lelaki ini terkejut jenguk rumah dibiar kosong 10 tahun

Oleh AHMAD ISMAIL

Rumah kalau lama tinggal dibimbangi jadi tempat jin bersarang. Namun, lain pula ceritanya di di Puchong, Selangor.

Bukan saja pemilik rumah dan kenalannya yang diminta untuk menjual sebuah unit pangsapuri dibiar kosong 10 tahun itu terkejut.

Perkongsian tentang keadaan semasa kediaman itu membuatkan satu Malaysia sama terkejut apabila sekumpulan warga asing selamba menceroboh tinggal percuma buat macam rumah sendiri.

Bukan jin yang bersarang, lelaki ini terkejut jenguk rumah dibiar kosong 10 tahun

Pengguna Facebook, Srilabu Kedah memberitahu, pencerobohan itu diketahui selepas kenalannya yang tinggal di Pantai Timur meminta dia menjualkan rumah tersebut.

Namun, katanya yang juga perunding hartanah, dia yang mahu menguruskan penjualan pangsapuri itu terkejut selepas mendapati rumah itu didiami warga asing ketika datang meninjau kediaman tersebut.

“Kawan kepada sahabat saya yang tinggal di kampungnya di Pantai Timur meminta saya menjualkan unit pangsapurinya di Puchong yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu.

“Selepas menerima kunci unit itu, saya yang tinggal di Seremban 2 datang meninjau rumah berkenaan di Puchong untuk mengetahui keadaannya sebelum urusan penjualan dilakukan.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati rumah itu didiami warga asing dan hal itu kemudian dimaklumkan kepada pemilik rumah yang juga terkejut dengan maklumat itu,” katanya.

Menurutnya, warga asing yang mendiami rumah itu tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau bahasa Inggeris menyebabkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.

Tindakan warga asing menceroboh dan tinggal di rumah rakannya itu, jelasnya, menunjukkan kumpulan terbabit semakin berani melakukan perkara yang bertentangan undang-undang.

“Mereka ceroboh masuk rumah orang macam itu saja, kita warga sendiri (tempatan) pun tak berani buat seperti itu.

“Bekalan air ke rumah itu diambil secara sambungan dari rumah sebelah, tetapi saya tak mengetahui bagaimana mereka mendapatkan bekalan elektrik,” katanya.

Tambahnya, dia kemudian bercakap dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang juga penyelia warga asing itu.

Rupanya mereka sudah lama tinggal di rumah berkenaan secara percuma tanpa gangguan sesiapa.

Paling mengejutkan, ujarnya, apabila warga asing terbabit memintanya menunjukkan bukti rumah itu adalah milik rakannya.

“Mereka minta bukti benarkah rumah ini milik rakan saya. Apa nak jadi dengan Malaysia sekarang?

“Saya sudah minta pemilik rumah membuat laporan polis dan saya sendiri juga akan melaporkan kes ini kepada pihak imigresen.

“Saya minta anda semua kongsikan cerita ini, kita nak semua orang peka terutama mereka yang ada rumah kosong kerana bimbang ia diceroboh dan didiami warga asing,” tambahnya lagi.

Baca:

Guna 1 bahan ini, bantu kurangkan pertumbuhan rumput liar

Semakin ditelan zaman! Ini resipi kuih tepung pasung

Kereta manual memang jimat, tapi kalau tak jaga 5 benda ni poket boleh rabak, khususnya part gear