Umat Islam yang bertahun merokok wajar mengambil peluang dalam bulan Ramadan yang mulia ini untuk berhenti daripada tabiat yang telah difatwakan haram itu.
Sebaliknya, jika ada perokok tegar boleh pula bermegah tak sakit apa, anda perlu tahu ada kes pemuda sudah diserang kanser paru-paru ketika umurnya 21 tahun!
Dia dikatakan merokok sejak Tingkatan Tiga iaitu ketika berumur 15 tahun.
Kes kanser itu didedahkan seorang warganet yang kemudiannya dikongsikan laman Facebook, Public Health Malaysia.
“Lihat ketulan yang berwarna putih di sebelah paru-paru ini. Itu adalah gugusan sel kanser di paru paru perokok yang berusia 21 tahun ini,” katanya.
Ini bermakna, ‘hanya’ enam tahun anak muda itu merokok, dia sudah ‘menyumbang’ kepada angka rakyat Malaysia yang terjejas dengan penyakit seperti kanser, sakit jantung dan penyakit berkaitan paru-paru akibat komplikasi merokok.
Sebelum ini dilaporkan, golongan B40 merupakan kumpulan majoriti yang terjejas dengan pelbagai penyakit berkaitan merokok.
Rakyat susah juga secara tidak langsung menjadi golongan sasaran syarikat-syarikat tembakau yang pernah digelar seorang bekas Menteri Kesihatan sebagai “kumpulan-kumpulan pembunuh”.
Lebih ramai lagi anak muda seawal usia 20-an dibimbangi akan menerima nasib sama untuk bergelar pesakit kanser paru-paru.
Hal ini memandangkan seramai 43,019 daripada 1.3 juta pelajar sekolah menengah merokok pada 2022.
Jumlah itu dikenalpasti daripada saringan dijalankan Kementerian Kesihatan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK).
Malah, hasil saringan yang dijalankan terhadap dua juta pelajar sekolah rendah pula mengesan seramai 341 murid turut terjebak dengan perbuatan itu.
Jika si ayah hari ini degil untuk terus merokok dengan 1,001 alasan, diharap biarlah mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007 bebas daripada asap rokok termasuk menjadi perokok pasif seperti termaktub dalam hasrat mewujudkan Generasi Penamat (GEG).
Baca:
Rupanya tanaman pun perlu kena ‘diugut’, ini antara petua agar pokok cepat berbuah
Pelbagai resipi bubur yang boleh buat di rumah, kombinasi rasa lemak & manis memikat selera
Roti kalau dah habis jangan dibuang tag, boleh guna untuk kreativiti lain