Seorang pelajar sekolah yang botak tidak pernah rasa rendah diri dengan kekurangan fizikal dialaminya sejak berusia dua tahun.
Muhamad Ezizulzaisyan Zulkarnin, 16, berkata, beliau kini dalam persediaan ke Perth, Australia untuk berentap dalam Kejohanan ‘Hockey WA Gryphon Cup’, pada 23 November ini.
Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu aktif bermain sukan terutama hoki yang sudah diceburi sejak sekolah rendah.
Pemegang kad orang kurang upaya (OKU) berkenaan mengalami kecacatan kekal di sebahagian kepala dan tangan kanan akibat tersimbah minyak panas ketika berusia dua tahun.
Insiden mengejutkan itu berlaku ketika dia bermain di dapur sebelum tersimbah minyak panas dalam kuali ketika ibunya sedang memasak.
“Saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dirawat hampir enam bulan kerana kecederaan di separuh kepala serta jari di tangan kanan yang melekat.
“Kulit paha saya diambil untuk membuat tampalan di seluruh tangan kanan yang melecur termasuk kulit kepala.
“Sehingga kini separuh kepala saya tidak ditumbuhi rambut, sebab itu ada yang ejek saya botak,” lapor Harian Metro.
Kecacatan yang dialami remaja itu bagaimanapun tidak menghalang remaja dari Kampung Pak Keral, di Tumpat, aktif sebagai atlet hoki.
Bahkan, sejak di sekolah rendah lagi, anak kelima dari tujuh beradik itu sudah menunjukkan potensinya dalam sukan hoki dan sudah dua kali mewakili Kelantan iaitu ketika berusia 11 dan 12 tahun.
Ezizulzaisyan sekarang sedang menjalani latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Selangor sebagai persediaan untuk ke Australia nanti.
Jelasnya, dia tiada masalah untuknya memegang kayu hoki walau secara fizikal, tangan kanannya masih jelas kesan kecederaan.
Katanya, kejadian pahit itu sudah lama berlalu dan tidak menjejaskan persembahannya selaku penyerang dalam pasukan.
“Memang rasa bangga kerana berjaya buktikan pada semua yang saya juga mampu berjaya walau ada kekurangan dan dalam masa yang sama dapat gembirakan kedua ibu bapa saya.
“Impian saya agar dapat terus harumkan nama negara dan tidak salah jika saya berhasrat untuk mewakili negara sehingga ke suatu mana-mana sukan berprestij dunia hari nanti,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Zulkarnin Che Zakaria, 50, berkata, tiada yang paling membanggakan mereka sekeluarga apabila anak yang sering dilihat penuh rasa simpati mampu melakarkan kejayaan demi kejayaan.
Beliau berkata, mereka sekeluarga sering memberi dorongan agar Ezizulzaisyan menumpukan minat dalam apa-apa acara sukan kerana bidang itu lebih berpotensi buatnya berbanding akademik yang dilihat sederhana.
“Kami tidak mahu Ezi lemah apabila mengenangkan kekurangan fizikalnya dan hasil sokongan demi sokongan, Ezi sudah berjaya berada di tahap sekarang.
“Alhamdulillah,” tambahnya lagi.
Baca:
Bertekak pun tak guna, benda dah jadi, ikuti 9 perkara patut buat kalau kemalangan jalan raya
Guna 5 bahan saja dapat donut gebu, jimat masa tak payah pun rehatkan doh
“Bila meter minyak tunjuk simbol E, buat tiga perkara ini untuk elak enjin mati tiba-tiba” – Abg JPJ