Boleh ke orang awam beri penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah? Ini anda perlu tahu. Hari yang pilu menyelubungi seluruh negara apabila Malaysia kehilangan seorang tokoh negarawan disegani. Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Kelima, telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada malam semalam.
Pengumuman Penuh Sebak Dari Khairy Jamaluddin
Berita duka itu disahkan oleh menantu beliau, Khairy Jamaluddin, melalui satu hantaran menyentuh hati di media sosial, memaklumkan bahawa Allahyarham – yang mesra dikenali sebagai ‘Pak Lah’ – menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.
Istiadat Pengebumian Negara Diumumkan
Sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar beliau kepada negara, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah memutuskan untuk menganugerahkan Istiadat Pengebumian Negara kepada Allahyarham.
Jenazah Pak Lah dijadualkan dibawa ke Masjid Negara pada jam 8.00 pagi untuk pengurusan jenazah. Penghormatan terakhir kepada beliau akan diadakan di Dewan Solat Utama dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Kod Pakaian Khusus Untuk Penghormatan Terakhir
JPM turut mengumumkan kod pakaian khas bagi mereka yang ingin menghadiri majlis penghormatan ini:
- Lelaki Islam: Baju kebangsaan hitam, bersamping hitam tanpa corak, dan bersongkok hitam.
- Wanita Islam: Baju kurung atau kebaya labuh berwarna gelap, serta berselendang atau tudung putih.
- Lelaki bukan Islam: Lounge suit berwarna gelap.
- Wanita bukan Islam: Pakaian sopan berwarna gelap dengan selendang putih. Pakaian yang bersesuaian juga dibenarkan.
Bendera Dikibarkan Separuh Tiang
Sebagai tanda penghormatan, semua bangunan dalam radius 2 kilometer dari Masjid Negara diminta mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai pengebumian.
Jenazah Selamat Tiba di Masjid Negara
Jenazah Tun Abdullah selamat tiba di Masjid Negara pada jam 8.15 pagi tadi, diiringi oleh kawalan keselamatan ketat dari polis dan tentera. Setelah dimandikan dan disolatkan selepas solat Zuhur, jenazah akan disemadikan di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara – tempat bersemadinya tokoh-tokoh besar negara.
Salam takziah buat keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.
BACA JUGA :
Pemilik hotel beri tips macam mana tandas di rumah boleh wangi macam hotel!
Tips masak lamb chop lembut, terus caid dalam mulut bila makan
Berbaloikah beli tayar terpakai? Ini 5 tips penting anda perlu tahu