Seorang pendakwah yang terkenal, Ustazah Asma’ Harun, terpaksa menutup kedai makannya di Seremban kerana tidak mampu menanggung kerugian lebih daripada RM30,000 setiap bulan.
Beliau memberitahu melalui siaran langsung di TikTok bahawa dia telah melakukan pelbagai usaha untuk menangani kerugian tersebut, termasuk membuat pinjaman, menjual aset, dan menggadaikan barang kemas.
Ustazah Asma’ menjelaskan bahawa walaupun kedai tersebut baru beroperasi kurang dari tiga bulan dan berada di lokasi yang strategik, peningkatan harga bahan mentah telah memaksa beliau membuat keputusan sedemikian.
“Setiap bulan kita negatif RM30,000. Contohnya, lepas sebulan kita berniaga, akauntan beritahu ada RM2,000 je dalam akaun. Saya tanya semula ‘habis tu nak byr gaji pekerja berapa perlu’.
“Akauntan pun beritahu bayar gaji pekerja nak dekat RM30,000. Bayar sewa pula kena cari lain. Kami buat macam mana, kami pinjam. Kami keluarkan simpanan ada, kami cairkan aset apa yang ada, semua kita jual.
“Barang kemas kita jual, simpanan kita keluarkan. Sampai bulan ini kami dah tiada apa-apa dah untuk kami tampung lagi. Ni bulan yang terakhir sebab kita nampak jualan masih sama,” katanya.
Tambah lagi Ustazah Asma’, dia tidak mampu menaikkan harga makanan meskipun kos bahan mentah dan operasi semakin meningkat kerana tidak ingin membebankan pelanggannya.
“Kita nak naikkan harga kita tak sanggup padahalnya kos operasi untuk restoran lagi-lagi ada makanan laut sangatlah tinggi. Harga barang sebenarnya sangat mahal sekarang, semua mahal,” luahnya.
Ustazah Asma’ sedang mencari sesiapa yang bersedia untuk membeli perniagaan dan kedai beliau agar tempat itu dapat dijaga dengan baik.
Katanya, salah satu sebab beliau tidak dapat memberi perhatian penuh kepada perniagaan restorannya adalah kerana jadual dakwahnya yang sangat sibuk.
“Sayang sangat tempat ni semua hiasan saya beli sendiri. Jadi mana-mana hamba Allah yang macam berminat nak beli perniagaan, boleh hubungi saya. Tempat ni sangat strategik.
“Mungkin boleh jadi kesuntukan masa saya dengan dakwah-dakwah dan urusan yang begitu banyak saya tak mampu nak beri fokus kepada kedai makan ni.
“Mengundur bukan beerti mengalah. Kita bukan mengalah, tetapi terpaksa berhenti sekejap, bernafas supaya kita boleh berlari lagi,” katanya.
Baca:
Pekerja Mercedes-Benz di Jerman nikmati bonus sehingga RM37.6K