Kanak-kanak memang terkenal dengan sifat ingin tahu dan suka bermain, hingga kadang-kala mereka mengganggu ibu bapa yang sedang solat tanpa sengaja.
Mereka boleh saja menyentuh atau memanjat tubuh orang tua mereka ketika sedang solat.
Namun, persoalan yang sering timbul adalah, apakah solat seseorang batal apabila disentuh oleh kanak-kanak yang belum berkhatan?
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, menjelaskan bahawa sekiranya seorang kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan
Dan diyakini ada najis di sekitar tempat khitanannya duduk di atas orang yang sedang solat, maka solat orang itu batal.
“Begitu juga jika kanak-kanak tersebut didukung oleh orang yang solat, solatnya juga batal kerana dia dianggap menanggung sesuatu yang mengandungi najis,” jelasnya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Namun, jika kanak-kanak itu hanya menyentuh atau bersandar pada orang yang sedang solat tanpa melibatkan tempat yang ada najis, solat orang tersebut tetap sah.
“Ini kerana dia tidak dianggap menanggung sesuatu yang mengandungi najis,” tambahnya.
Penjelasan ini selaras dengan pendapat Syeikh Ismail Uthman Zaid dalam kitab Qurrah al-’Aini yang menyatakan bahawa: “Apabila diketahui bahawa kanak-kanak lelaki itu membawa najis yang jelas di sekitar tempat khitanannya atau di luar kemaluannya, maka solat orang yang menanggungnya itu batal.
“Namun, jika ia tidak diketahui dengan pasti atau tidak kuat sangkaannya, maka solat orang yang menanggungnya adalah sah kerana berpegang pada asas kesucian.
“Begitu juga jika hanya menyentuh pakaian kanak-kanak tersebut atau dia berpaut pada orang yang solat tanpa mengganggu, maka solat tetap sah dan tidak batal kerana hal itu,” katanya lagi.
BACA: Siapa sangka sayur kangkong yang jadi kegemaran rakyat Malaysia rupanya haram di Amerika!