Realtime website trackingweb stats

BERSATU tuntut jawatan utama dalam kabinet

Oleh ADINDA

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu parti itu menolak semua jawatan dalam kabinet sebagai salah satu strategi dan persediaan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, laporan berkenaan tidak betul.

Rosol Wahid

Menurut satu portal berita, Muhyiddin dilaporkan mahu Bersatu menolak semua jawatan dalam kabinet sebagai salah satu strategi dan persediaan parti itu memenangi PRU15.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Rosol yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu daripada Umno sebelum meninggalkan parti itu dan bersama Bersatu turut menafikan jawatan dalam kabinet ada dibincangkan dalam mesyuarat MPT Bersatu baru-baru ini.

“Tidak ada,” katanya ringkas.

Dalam pada masa yang sama, Bekas pengerusi Bersatu Johor, Datuk Mazlan Bujang dipetik Utusan Malaysia berkata jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu diberi kepada Bersatu memandangkan Muhyiddin Yassin dengan berjiwa besar telah berkorban meletak jawatan bagi memberi laluan kepada wakil Umno menjadi Perdana Menteri baharu.

Mazlan Bujang

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau bagaimanapun berharap semua pihak akan menyokong wakil daripada parti mana pun yang dipilih demi kestabilan politik.

“Ini (jawatan Timbalan Perdana Menteri) hak parti masing-masing. Siapa-siapa boleh membuat tuntutan kerana ketika ini tidak ada parti yang betul-betul cukup majoriti dan harap parti lain beri sokongan.

Namun katanya, terpulang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan sama ada perlu atau tidak jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan, dan siapa calon yang mahu dipilihnya.

Khamis lalu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Jemut Masing menegaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri wajar diberi kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak sebagai mengiktiraf sumbangan dua negeri tersebut dalam pembentukan kerajaan dan politik yang stabil.