Bernikah diam-diam di Thailand, penjara menanti

Oleh ADINDA

Dr. Zulkarnain Lukman

HUKUMAN PERKAHWINAN DI THAILAND SEWAKTU PKP

Apabila seseorang itu telah membuat keputusan untuk berkahwin di Thailand pastinya dia sudah bertanyakan hukuman yang bakal dikenakan selepas itu. Maknanya orang yang bernikah di Thailand itu sudah tahu bahawa perbuatannya itu bercanggah dengan peraturan.

Biasanya orang yang menjawab itu akan menyatakan bahawa beliau akan didenda atas perbuatan itu. Jarang orang yang memberitahu bahawa selain dikenakan denda orang itu akan boleh juga dikenakan dengan hukuman penjara.

Seksyen 40(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan, ‘Mana-mana orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.’

Maknanya, jika orang itu bernikah di Thailand (semestinya tiada kebenaran diberikan untuk seseorang itu bernikah di Thailand melainkan mungkin kerana pasangan wanita itu bermastautin di sana atau lelaki itu sendiri bermastautin atau bekerja di sana) beliau akan dikenakan denda tidak lebih satu ribu ringgit atau dipenjarakan melebihi enam bulan.

Dari segi amalannya, kebanyakan hakim akan mengenakan hukuman denda. Jumlah denda yang dikenakan itu bergantung kepada kes dan keadaan. Lazimnya, kalau di Selangor dan Wilayah Persekutuan denda itu akan dikenakan dengan jumlah maksima kerana kadar denda satu ribu itu dianggap tidak begitu tinggi memandang kepada tahap pendapatan masyarakat di sini.

Meskipun begitu, ianya bergantung kepada mitigasi yang dibuat oleh pesalah itu sendiri. Jika ada alasan-alasan tertentu yang boleh dipertimbangkan maka jumlah tersebut boleh dipertimbangkan. Dalam satu kes yang pernah dirujuk, hakim mengenakan denda sebanyak RM600 kepada orang itu walaupun beliau adalah seorang kaya dan berpendapatan tinggi. Kes ini melibatkan kesalahan perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah. Kadar denda dan hukuman bagi pesalah bercerai di luar Mahkamah ini sama sahaja dengan kadar denda dan hukuman bagi pesalah bernikah tanpa kebenaran.

Dalam mitigasinya, orang ini menyatakan bahawa bekas isterinya itu bertindak dengan ganas dalam rumah tangganya. Habis semua pinggan mangkuk dipecahkan termasuk sebuah TV besar. Akibat tidak tahan dengan keadaan itu, beliau melafazkan talak ke atas isterinya.

Malangnya, selepas bercerai keadaan bekas isterinya itu semakin parah dan mengalami kesihatan mental yang melampau. Bekas suaminya ini berasa kasihan dengan bekas isterinya dan terus menanggung kos perubatan dan kos sara hidup bekas isterinya selama berbulan-bulan. Atas pertimbangan itulah hakim mengenakan denda yang tidak maksima.

BH melaporkan antara faktor perceraian meningkat adalah kerana suami tidak tahan “didera” isteri

Dalam hal keadaan lain, ramai juga para hakim sekarang yang turut mengenakan hukuman penjara khasnya jika perkahwinan poligami yang dibuat itu adalah kes yang berulang. Misalnya orang itu telah pernah disabitkan berkahwin poligami untuk kali kedua dan terus mengulangi perkahwinan poligami tanpa kebenaran Mahkamah untuk kali ketiga atau keempat. Pada pandangan hakim barangkali pengenaan hukuman denda sebegitu tidak akan mendatangkan keinsafan kepadanya melainkan jika dikenakan hukuman penjara.

Dalam satu kes yang pernah berlaku di Selangor, seorang hakim mengenakan hukuman penjara 2 minggu kepada suami yang berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah ini. Pada mulanya beliau ingin merayu ke atas hukuman itu namun beliau akhirnya memilih untuk masuk penjara.

Bagi seorang yang bekerja sendiri hukuman penjara sedemikian mungkin tidak mendatangkan apa-apa akibat kepadanya. Tetapi jika beliau seorang penjawat awam kemungkinan besar hal tersebut akan mendatangkan mudarat yang lain seperti beliau mungkin akan dikenakan hukuman tatatertib oleh jabatannya.

Jenis Kesalahan Tatatertib Penjawat Awam, 2002 – 2006

Jika orang politik berbuat demikian kemungkinan besar Mahkamah akan mengenakan denda yang maksima ditambah lagi dengan hukuman penjara. Jika kita masih ingat Dato’ Bung Mokhar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan pernah dihukum denda RM1000 dan penjara sebulan oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur akibat melakukan upacara pernikahan tanpa kebenaran Mahkamah dengan pasangan artis Zizie Izzette Abdul Samad. Alasan yang diberikan oleh Mahkamah adalah kerana “kes ini mendapat liputan meluas oleh media massa dan ramai di luar sana tidak memahami konsep poligami dalam Islam, berkahwin tanpa kebanaran mahkamah, oleh itu hukuman ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai”. Walau bagaimanapun, hukuman penjara ini telah diketepikan olehnya semasa peringkat rayuan. Antara alasan rayuannya adalah kerana kesalahan itu adalah kesalahan pertama yang dilakukan olehnya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin  dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kerana berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah manakala isterinya, pelakon Zizie Izette A. Samad dikenakan denda maksimum RM1,000 pada tahun 2010

 

Dr. Zulkarnain Lukman, pakar perundangan syariah yang kini beramal sebagai seorang peguam bela dan peguam syarie