Pastinya ramai yang mempunyai masalah sama iaitu kawan liat nak bayar hutang padahal masa pinjam segala janji ditabur untuk buat bayaran kembali.
Tahukah anda sebenarnya ada cara untuk tuntut hutang di Mahkamah Tuntutan Kecil apatah lagi tengah masalah ekonomi sekarang.
Di sini kami kongsikan serba sedikit penerangan tentang prosedur Mahkamah Tuntutan Kecil yang dikongsikan di media sosial dan portal berita tempatan.
Apakah Itu Mahkamah Tuntutan Kecil?
Diwujudkan untuk mendapatkan tuntutan di bawah RM5,000
Mempercepatkan proses/prosedur untuk menuntut kembali wang/barangan/bayaran dan/atau apa-apa hutang termasuk pelanggaran kontrak;
Meringankan beban mahkamah dalam menyelesaikan tuntutan-tuntutan;
Kos yang terlibat untuk isi dan failkan borang adalah RM20 sahaja
Syarat-syarat
Antara prasyarat yang perlu dipatuhi sebelum memfailkan tuntutan tersebut adalah seperti berikut:
Tuntutan hendaklah tidak melebihi RM 5,000.00;
Kehadiran peguam tidak diperlukan didalam tuntutan ini;
Tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia; dan
Tuntutan tersebut boleh difailkan terhadap mana-mana individu dan syarikat namun tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia. Syarikat tidak dibenarkan untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil.
Cara Tuntut Hutang Di Mahkamah Tuntutan Kecil
Tuntutan (saman) ini boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Majistret yang berhampiran. Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dibuka pada waktu pejabat.
Bagi memulakan saman, plaintif dikehendaki mengisi Borang 198 yang telah disediakan di Mahkamah dalam [4] salinan dan menyatakan amaun dan butir-butir tuntutannya.
Butir-butir itu mestilah menyatakan tarikh relevan dan bagaimana tuntutan itu telah berbangkit dan apakah asas tuntutan itu.Tandatangan di borang tersebut atau cap jari. Borang 198 tersebut boleh didapati secara percuma.
Setelah menyiapkan borang, plaintif mestilah memfailkan borang dalam 4 salinan tersebut di Pejabat Pendaftaran bagi Mahkamah Majistret Kelas Dua.
Plaintif mestilah membayar bayaran pemfailan sebanyak RM20.00. Pejabat Pendaftaran akan meletakkan meterai Mahkamah ke atas 4 salinan borang itu dan mengisikan tarikh pendengaran.
Seterusnya, plaintif perlu membuat penyampaian Borang 198 kepada alamat terakhir defendan yang diketahui.
Seeloknya Plaintif perlulah menyertakan satu salinan surat (“cover letter”) untuk diserahkan kepada Defendan bersama-sama dengan borang tersebut.
Plaintif hendaklah mendapatkan tandatangan dan/atau cop defendan serta tarikh penyampaian tersebut dibuat. Hal ini akan membantu Plaintif dalam membuktikan penyerahan telah dibuat secara kediri dengan berjaya sekiranya Defendan akan menyangkal penyerahan/penyampaian (“denied service”) yang telah dibuat itu.
Sekiranya defendan yang telah disampaikan secara sempurnanya dengan Borang 198 mempertikaikan tuntutan, defendan bolehlah menyampaikan pembelaannya dalam Borang 199 yang difailkan dalam empat salinan dalam empat belas hari selepas penyampaian tuntutan itu.
Apabila peringkat di atas telah selesai plaintif/defendan dikehendaki hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Sekiranya anda perlu memberi pinjam wang kepada rakan anda, lakukan dengan cara pindahan wang melalui transaksi online sahaja. Jangan berikan wang secara tunai.
kalau rakan tiada akaun bank, sediakan surat akuan terima wang dan minta rakan anda untuk menandatangani surat tersebut
Baca juga:Akhirnya terjawab sebab apa lori tangki minyak bentuk silinder, bukan petak?