Ejen hartanah berusia 37 tahun, kini dikenali sebagai wanita paling berjimat cermat di negaranya selepas berkongsi rahsia bagaimana beliau membeli tiga rumah pada usia muda.
Disiplin berjimat cermat yang diamalkan selama 15 tahun membolehkannya membeli tiga buah rumah, satu pencapaian luar biasa yang dimulakan sejak usia 19 tahun.
Menurut Oddicity Central, Tamogami mengamalkan prinsip “Jangan beli kalau tidak ada jualan murah!” dan pendekatan ini terbukti berkesan.
Beliau mula berjimat dengan tidak membeli pakaian baru, sebaliknya menggunakan pakaian terpakai daripada keluarga dan rakan-rakan.
Selain itu, beliau juga menjaga dengan baik pakaian yang dimilikinya agar tahan lebih lama.
Pada tahun 2019, Saki muncul dalam rancangan televisyen Jepun, Happy! Bomby Girl, di mana beliau mendedahkan kisah hidupnya kepada orang ramai.
Beliau mendedahkan bahawa beliau hanya membelanjakan sebanyak 200 yen (RM6.40) sehari untuk makanan. Dengan bajet sekecil itu, beliau hanya mampu membeli bahan-bahan murah, memasak di rumah, dan kadang-kadang menikmati sepotong ikan salmon yang dibeli dengan harga diskaun.
Selain itu, Saki juga berjimat dengan tidak menghabiskan wang untuk solekan atau gaya rambut. Sebaliknya, beliau menjadikan rambutnya sebagai sumber pendapatan dengan menjualnya apabila sudah cukup panjang, yang menghasilkan kira-kira 3,100 yen (RM99), cukup untuk menampung bajet makanannya selama dua minggu.
Walaupun cara hidup ini mencabar, beliau mengaku telah terbiasa dan merasa puas melihat wang di dalam akaun banknya semakin bertambah.
Pada usia 27 tahun, Saki berjaya menyimpan wang yang cukup dari gaji sebagai ejen hartanah untuk membeli sebuah rumah di Saitama, utara Tokyo, pada harga 10 juta yen (RM347,000). Beliau kemudiannya menyewakan rumah tersebut dan wang sewaan itu digunakan untuk membayar pinjaman bank.
Dalam beberapa tahun berikutnya, beliau berjaya membeli rumah kedua pada harga 18 juta yen (RM625,000), dan kemudiannya membeli rumah ketiganya pada harga 37 juta yen (RM1.28 juta).
Walaupun sudah mencapai matlamatnya, Saki tetap hidup dalam sederhana untuk terus menyimpan wang demi membantu kucing-kucing yang diselamatkan. Beliau telah membuka kafe kucing di tingkat bawah salah sebuah rumahnya dan merancang untuk melabur dalam hartanah lain pada masa depan.
BACA: 50 tahun tinggal di Istana, anak raja Thailand jadi tukang kebun di Indonesia