Realtime website trackingweb stats

Bekalan air sudah berhari tiada, serangan makin dekat, cerita wanita ini di penjara terbesar di dunia mencemaskan

Oleh AHMAD ISMAIL

Perkongsian seorang wanita berasal dari Keramat, Kuala Lumpur ini mengenai keadaan getir di pintu sempadan Gaza sekarang mencemaskan.

Rupanya, satu-satunya laluan keluar dari Gaza yang dikawal Mesir itu masih tidak dibuka setakat 17 Oktober ini walaupun media antarabangsa melaporkan pintu sempadan itu akan mula dibuka jam 9 pagi waktu tempatan, 16 Oktober.

Menurut Nurul Ain Haron, 37, berita pembukaan pintu sempadan Rafah itu adalah harapan palsu ketika lebih 2,800 nyawa penduduk Palestin di Gaza terkorban akibat bedilan bom bertalu-talu daripada tentera Israel.

Walau bagaimanapun, beliau dan suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, yang juga warga Palestin tetap memberanikan diri keluar rumah bagi menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa dan penduduk yang terjejas.

“Ini adalah amanah, tapi kami tunggu jika tidak ada serangan baru keluar. Bantuan yang diedarkan ini diambil dari kedai pemborong makanan yang buat sumbangan.

“Ini sajalah yang tinggal sebab ada satu lagi kedai sudah musnah dibom,” katanya, dipetik Harian Metro.

Beliau yang kali pertama pulang ke kampung halaman suaminya di Gaza selepas enam tahun berkahwin berkata, berita mengenai pembukaan pintu sempadan Rafah menyebabkan ramai penduduk mula berkumpul di situ.

Menurutnya, keadaan mereka di sana sekarang ibarat berada dalam penjara selepas semua kemudahan awam seperti bekalan elektrik, air dan talian Internet disekat oleh Israel.

“Serangan masih tidak berhenti. Malah, mereka dah mula serang dekat kawasan sempadan Rafah.

“Hari ini dah masuk hari kesembilan bekalan air dan elektrik tidak ada. Kami ibarat di penjara terbesar di dunia. Itu yang saya dapat terangkan dan gambarkan keadaan kami di sini buat masa ini,” ujarnya.

Bekalan air sudah berhari tiada, serangan makin dekat, cerita wanita ini di penjara terbesar di dunia mencemaskan

Pada masa ini, bantuan kemanusiaan termasuk dari Mesir, Jordan dan Turki selain bekalan perubatan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah tiba lapangan terbang Al Ariel yang jaraknya 50 kilometer (km) di barat Rafah.

Semua bantuan itu sedang menunggu untuk dibawa masuk ke Gaza yang dibedil bertalu-talu tentera Israel sejak 7 Oktober lalu.

Tambah Nurul Ain lagi, lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan kedai menjual barangan makanan mula kehabisan stok sekaligus menyebabkan bantuan yang diberinya bergantung apa yang ada saja.

“Sekarang ini, bantuan yang nak dibawa masuk memang tak boleh. Tidak tahu bila akan masuk. Dari segi makanan, kami hanya bergantung pada bekalan sedia ada.

“Saya dah mula hilang kata-kata. Saya dah ‘mentally broke’. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan melindungi kami di sini,” doanya.

Nurul Ain berkata, tidak ada satu tempat pun di wilayah itu yang betul-betul dalam keadaan selamat.

“Tiada jaminan mana-mana kawasan di sini selamat buat masa sekarang. Setiap masa dalam keadaan risau dan takut, tapi perlu berjaga-jaga.

“Tidur pun tak boleh lena. Dron di udara boleh dengar dengan kuat setiap masa terutama pada waktu malam perasaan itu Allah saja yang tahu.

“Syukur, Alhamdulillah untuk semuanya,” katanya yang pada masa ini berlindung di rumah mentua, Khan Younis selepas tiba di negara itu pada 1 Oktober lalu.

Baca:

Ahli keluarga ada dalam rumah, akhirnya nenek yang jumpa, budak autisme maut dalam mesin basuh

Tak patut mengungkit, wanita 10 anak ini marahkan ibu Shila Amzah, nasihatnya memang ‘rare’ tapi ada benarnya

“Mental kena kuat, GV10 bukan tentang seorang individu”- Hetty Koes Endang