Semua pasar raya dan peniaga di negeri ini kini dilarang mengenakan caj untuk penyediaan beg plastik kepada pelanggan, termasuk beg plastik jenis biodegradasi.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar,
memaklumkan bahawa masih ada pasar raya yang mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik, sama ada beg plastik yang dibenarkan atau tidak.
“Larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polisterina, dan penyedut minuman telah dikuatkuasakan di seluruh negeri sejak Oktober 2022.
“Peniaga boleh menyediakan beg plastik jenis biodegradasi jika diminta.
“Tiada caj boleh dikenakan kepada pelanggan untuk penyediaan atau pemberian beg plastik jenis biodegradasi yang diberikan secara sukarela oleh pemegang lesen perniagaan,” jelasnya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberikan tempoh dua tahun kepada peniaga untuk menyesuaikan diri dengan peraturan ini, termasuk melaksanakan pelbagai kempen mengenai larangan beg plastik.
Menurutnya, dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini, semua PBT telah diarahkan untuk lebih agresif dalam penguatkuasaan peraturan ini di semua peringkat perniagaan.
“Sejak 2022, PBT telah mewajibkan syarat permohonan lesen perniagaan yang melarang penyediaan beg plastik kepada pelanggan. Tindakan ini adalah satu kesalahan dan melanggar syarat lesen.
“Masih ada syarikat besar dan kecil yang membekalkan plastik yang dilarang seperti oxo-degradable atau photodegradable, yang sangat berbahaya kepada manusia dan haiwan.
“PBT tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada pihak yang melanggar syarat lesen ini, yang boleh mengakibatkan pembatalan lesen,” katanya.
Beliau menambah, peniaga atau pasar raya yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250, dan jika gagal membayar, mereka boleh dibawa ke mahkamah.
Sebelum ini, PBT masih memberikan notis peringatan kepada peniaga yang didapati melanggar peraturan ini, dengan 1,125 notis dikeluarkan di seluruh negeri.
“Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengeluarkan 14 notis, manakala Majlis Daerah Rembau (MDR) mencatatkan jumlah notis peringatan tertinggi iaitu sebanyak 500 notis, dengan peniaga pasar malam mencatatkan jumlah tertinggi,” katanya.
BACA: ‘Bukan urusan saya..’ Ini respon padu Puteri Sarah kes penceraian Syamsul dan Ira Kazar