Realtime website trackingweb stats

Baru tahu rupanya ada stesen kereta api lama di Melaka, usia lebih 100 tahun

Oleh SHAZLIN AZIZ

Walaupun beribu tahun telah berlalu, banyak tinggalan sejarah masih kekal dan boleh dijejaki.

Terutama sekali bagi bangunan-bangunan yang tidak pernah dirobohkan atau digantikan dengan pembangunan baru.

Salah satu contohnya ialah sebuah stesen kereta api lama yang telah ditemui semula selepas 10 tahun perkhidmatannya dihentikan, setelah beroperasi lebih dari 100 tahun.

Menurut perkongsian oleh Pengerusi dan Penyelidik Persatuan Kartografi Melaka, Shahrul Azzim Abd Aziz,

pasukan penyelidik projek Railway Cartographic Research Project (RailCREP) baru-baru ini telah menjejaki lokasi bersejarah Stesen Keretapi Lama Batang Melaka.

Baru tahu rupanya ada stesen kereta api lama di Melaka, usia lebih 100 tahun

Eksplorasi ini dihadiri oleh Shahrul Azzim Abd Aziz (Encik Kartografi) dan Mohd Faizal Khusairy Razali (Jejaka Kartografi). Tujuan mereka adalah untuk mengangkat semula dan berkongsi sejarah stesen kereta api yang dulunya tidak pernah sunyi dari para penumpang yang menggunakan perkhidmatannya.

Stesen Keretapi Lama Batang Melaka dibuka pada awal tahun 1900-an (1906) dan mungkin masih terdapat beberapa struktur asal yang dibina pada masa itu. Bangunan stesen yang dapat dilihat hari ini mungkin merupakan struktur yang dibina semula dan dinaik taraf, menggantikan bangunan asal yang dipercayai diperbuat daripada kayu.

Bagaimanapun, pada tahun 2012, Stesen Keretapi Lama Batang Melaka ditutup dan digantikan dengan Stesen Keretapi Batang Melaka yang baru pada tahun 2014, terletak di dalam sempadan negeri Melaka (Daerah Jasin).

Untuk makluman, Stesen Keretapi Lama Batang Melaka terletak di dalam sempadan Negeri Sembilan (Daerah Tampin), kerana Batang Melaka merupakan pekan yang terletak di sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan.

Walaupun sebahagian struktur telah mula dimamah usia dan ditenggelami semak-samun, beberapa struktur masih kukuh berdiri. Antara yang masih dapat dilihat termasuk bangunan stesen, kaunter, pondok menunggu penumpang, tangga ke bangunan stesen, platform, bilik kecil yang mungkin digunakan sebagai stor, dan sebuah papan tanda lama yang menunjukkan lokasi stesen tersebut iaitu Batang Melaka.

Papan tanda lama tersebut menunjukkan stesen berhampiran termasuk Stesen Keretapi Tebong (di Melaka) dan Stesen Keretapi Air Kuning (di Negeri Sembilan). Kedua-dua stesen berhampiran ini juga telah menghentikan perkhidmatannya.

Diharapkan suatu hari nanti, akan ada usaha untuk memulihara Stesen Keretapi Lama Batang Melaka ini agar tidak terus musnah, dan boleh dikunjungi oleh generasi kini dan akan datang.

Stesen ini juga berpotensi menjadi lokasi pelancongan sejarah yang dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

BACA: Baru tahu ada rahsia disebalik cara jalan wanita ramai tak tahu