Peti sejuk, televisyen, mesin basuh, dan kipas adalah antara perkakasan yang wajib ada di setiap rumah.
Namun, penggunaan barangan ini secara tidak terkawal boleh menyebabkan bil elektrik melonjak tinggi.
Di TikTok, seorang pencipta kandungan yang dikenali sebagai Abgletriqq telah menjawab soalan netizen mengenai topik ini.
“Betulkah peti sejuk dengan kapasiti kecil lebih jimat tenaga elektrik berbanding peti sejuk dengan kapasiti besar?” tanya seorang individu.
Menurut Abgletriqq, jumlah bil utiliti bukan hanya dipengaruhi oleh saiz barangan elektrik, tetapi juga oleh kekerapan penggunaannya.
“Betul, lagi kecil saiz peti sejuk, lagi jimat penggunaan tenaga. Bukan hanya peti sejuk, barang lain pun sama. Televisyen 55 inci memang lebih jimat daripada TV 65 inci.
“Mesin basuh 7 kilogram (kg) lebih jimat daripada mesin basuh 9kg. Selain itu, dari segi penggunaan barangan elektrik itu sendiri, lagi kurang penggunaan, lagi banyak ia jimat,” jelasnya.
Abgletriqq juga menerangkan bahawa kekerapan membuka pintu peti sejuk turut menyumbang kepada peningkatan bil elektrik.
“Kadang-kadang jiran sebelah mungkin mempunyai peti sejuk yang lebih besar daripada kita, tapi bil elektrik mereka lebih rendah. Kenapa? Sebab penggunaan.
“Mungkin mereka jarang membuka pintu peti sejuk. Sementara itu, walaupun peti sejuk kita lebih kecil, jika sering dibuka, sama ada siang atau malam, bil elektrik akan meningkat.
“Jadi, bukan hanya saiz yang perlu diperhatikan, tetapi juga penggunaan. Seberapa kerap kita membuka pintu peti sejuk juga mempengaruhi penggunaan tenaga elektrik,” tambahnya.
BACA: Ramai tak tahu sebenarnya masuk hospital kerajaan tapi dapat layanan 5 bintang, ini caranya