Realtime website trackingweb stats

Bangunan sekolah rendah dipindah tanpa perlu dirobohkan, macam mana dia buat?

Oleh HADI KAMARUDIN

Tahukah anda bahawa sebuah bangunan lima tingkat di kawasan timur daerah Huangpu, Shanghai, berjaya dipindahkan ke lokasi baru tanpa perlu dirobohkan

Bangunan Sekolah Rendah Lagena yang berusia 85 tahun itu diangkat sepenuhnya

Dengan menggunakan teknologi canggih yang dikenali sebagai “walking machine” atau mesin berjalan.

Projek perpindahan yang dijalankan pada tahun 2020 ini merupakan usaha pihak berkuasa Shanghai dalam memelihara bangunan bersejarah.

Menurut ketua penyelia teknikal projek tersebut, Lan Wuji, hampir 200 ‘penyokong bergerak’ dipasang di bawah bangunan itu.

Bangunan sekolah rendah dipindah tanpa perlu dirobohkan, macam mana dia buat?

Penyokong ini berfungsi seperti “kaki robotik” yang bergerak secara bergilir-gilir, meniru pergerakan manusia dengan bantuan sensor untuk memastikan pergerakan tersebut terkawal.

“Ia seperti memberikan bangunan itu tongkat untuk berdiri dan berjalan,” jelas Lan yang syarikatnya, Shanghai Evolution Shift, membangunkan teknologi ini pada 2018.

Proses perpindahan yang mengambil masa selama 18 hari itu melibatkan putaran bangunan sebanyak 21 darjah dan pergerakan sejauh 62 meter ke lokasi baru. Selepas perpindahan selesai pada 15 Oktober 2020, bangunan tersebut dijadikan pusat pemeliharaan warisan dan pendidikan budaya.

Sejarah Pemeliharaan Bangunan Bersejarah di China

China, yang terkenal dengan pembangunan pesat, sering berhadapan dengan isu pemusnahan bangunan bersejarah bagi memberi ruang kepada pembangunan moden.

Semasa era Revolusi Kebudayaan (1966–1976), banyak struktur bersejarah dimusnahkan kerana dianggap sebagai simbol budaya lama.

Namun, pada tahun 1976, usaha untuk memelihara warisan sejarah diperkukuhkan semula. Pada 1980-an, undang-undang pemeliharaan warisan diperkenalkan dan banyak bangunan serta kawasan bersejarah diberikan perlindungan rasmi.

Walau bagaimanapun, tekanan urbanisasi dan keperluan ekonomi tempatan terus menjadi ancaman kepada usaha pemeliharaan ini. Sebagai contoh, lebih 1,000 ekar lorong dan rumah tradisional di Beijing musnah antara tahun 1990 hingga 2010.

Shanghai Sebagai Perintis Pemeliharaan Warisan

Shanghai sering menjadi pelopor dalam usaha memelihara bangunan bersejarah.

Sebagai contoh, Dewan Konsert Shanghai yang dibina pada tahun 1930 telah dipindahkan sejauh 66 meter pada tahun 2003 untuk memberi ruang kepada pembinaan lebuh raya.

Projek perpindahan Sekolah Rendah Lagena ini menambah rekod unik bagi bandar tersebut.

Bangunan berbentuk T yang seberat 7,600 tan ini memerlukan kaedah inovatif kerana kaedah tradisional seperti gelongsoran tidak sesuai untuk struktur yang tidak sekata.

Teknologi mesin berjalan yang digunakan bukan sahaja mampu memindahkan bangunan, malah memutarnya serta menggerakkannya melalui laluan yang melengkung.

Lan menegaskan bahawa pemindahan bangunan adalah pilihan terakhir jika dibandingkan dengan pemusnahan, tetapi ia tetap merupakan alternatif yang lebih baik.

Beliau juga menyatakan bahawa kos untuk memindahkan bangunan berbeza bergantung pada situasi, namun secara amnya, ia lebih murah berbanding dengan meruntuhkan dan membina semula struktur di lokasi baru.

BACA: ‘Setiap benda yang berlaku ada hikmahnya’ Respon Pengurus Che Ta