Realtime website trackingweb stats

Bangkai makhluk asing didakwa berusia 1,000 tahun jadi bahan polemik di Mexico

Oleh SHAZLIN AZIZ

Bangkai makhluk asing didakwa berusia 1,000 tahun jadi bahan polemik di Mexico.

Sesi pendengaran luar biasa Kongres Mexico pada 12 September lalu julung kali menyentuh isu hidupan asing dari angkasa lepas.

Dua penemuan didakwa ‘mayat makhluk bukan manusia’ ditampilkan pada sesi pendengaran mengenai Fenomena Anomali Tidak Dikenali (UAP).

Ahli Parlimen dimaklumkan bahawa ‘penghuni bumi tidak bersendirian’ di alam semesta ini.

‘Mayat’ itu diketengahkan wartawan sekian lama memberi tumpuan kepada perihal UFO, Jaime Maussan yang mendakwa ia adalah makhluk asing dari luar angkasa.

Dua ‘mayat’ kecil yang dipamerkan dalam kotak itu dilihat mempunyai tiga jari pada setiap tangan dan kepala lonjong.

“Spesimen berkenaan tiada kaitan dengan sebarang hidupan di bumi,” dakwa Maussan yang memberitahu ia ditemui dekat kawasan purba Nazca Lines di Peru pada 2017.

Bangkai makhluk asing didakwa berusia 1,000 tahun jadi bahan polemik di Mexico

Katanya, ‘mayat’ terbabit berusia kira-kira 1,000 tahun berdasarkan hasil analisis oleh Universiti Autonomi Kebangsaan (UNAM) di Mexico.

Beliau berkata, ia adalah kali pertama bukti seumpama itu dikemukakan.

“Saya berpandangan bahawa ia jelas adalah spesimen bukan manusia dan tidak berkait dengan sebarang spesies lain di dunia kita.

“Semua kemungkinan adalah terbuka untuk siasatan oleh mana-mana institusi saintifik. Kita tidak bersendirian,” katanya, lapor Reuters.

Dalam hal berkaitan, Pengarah Institut Saintifik untuk Kesihatan, Tentera Laut Mexico, Jose de Jesus Zalce Benitez, berkata pemeriksaan sinar-X, konstruksi semula secara tiga dimensi (3D) dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) telah dilakukan ke atas hasil penemuan terbabit.

“Saya boleh mengesahkan bahawa mayat-mayat ini tidak mempunyai kaitan dengan manusia,” katanya.

Sementara itu, UNAM dalam kenyataan yang diterbitkan semula selepas kali pertama dikeluarkan pada 2017, memaklumkan bahawa kerja dilaksanakan National Laboratory of Mass Spectrometry with Accelerators (LEMA) itu hanya bertujuan menentukan usia sampel terbabit.

“Kami tidak membuat kesimpulan mengenai asal usul sampel berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Baca:

Lelaki kongsi tips betul jika nak jimat elektrik, bil turun dari RM300 ke RM50

Puteri yang boleh berhubung dengan malaikat bakal kahwin dengan ‘pawang besar’

Bahana ‘Daniel’ membadai di Libya, 10,000 hilang ‘ditelan’ tsunami, bandar hanyut ke laut