Realtime website trackingweb stats

Awas! Malaysia negara ketiga paling banyak petir, ini 4 kes maut dipanah petir

Oleh ADINDA

Ramai mungkin tidak tahu bahawa Malaysia adalah negara ketiga di dunia paling kerap mengalami kejadian petir atau kilat dengan purata 190 hari kejadian dalam setahun.

Kedudukan negara kita selepas Rwanda dan Congo itu menjadikan Malaysia antara kedudukan teratas dalam jumlah panahan dikenali sebagai ‘Mahkota Kilat’ (Crown of Lightning).

Malah, pantai barat Semenanjung Malaysia mencatatkan bilangan kilat tertinggi berbanding kawasan lain.

Sebabnya dipengaruhi kedudukan geografi kawasan itu, yang terletak berhampiran Selat Melaka, selain dikelilingi banyak banjaran.

Jadi, jangan pandang remeh apabila berlakunya kejadian petir yang bukan saja memusnahkan harta benda malah boleh menyebabkan kematian.

Ketika hujan lebat dan petir, lindungi diri daripada disambar kilat antaranya tidak menggunakan pokok sebagai tempat berlindung.

Bagi mengurangkan risiko dipanah petir juga, segera turun dari kawasan tinggi seperti bukit, rabung atau puncak gunung.

Jika anda berada berdekatan kolam, tasik dan takungan air, cepat keluar dan jauhi dari sumber air itu.

Sekiranya berada dalam bangunan pula, jauhi tingkap dan pintu atau berehat di luar anjung selain hindari kabel telefon, komputer dan peralatan elektrik lain.

Berikut adalah empat kes maut dan lokasi dipanah petir di seluruh negara setakat enam bulan pertama tahun ini:

1. Padang

Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun maut, manakala rakannya kritikal selepas dipanah petir ketika bermain bola sepak di padang Pekan Papar, Sabah pada 25 April 2023.

Dalam kejadian jam 3.55 petang itu, mangsa, Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian.

2. Kawasan perairan

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terkena panahan petir ketika menjaring ketam bersama bapanya berdekatan Pulau Merambong di Iskandar Puteri, Johor.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi, 29 Jun 2023 sewaktu hujan lebat ketika mangsa bersama bapanya menaiki bot untuk mengambil jaring yang dipasang sebelum dipanah petir.

3. Atas motosikal di jalan raya

Seorang lelaki berusia 50 tahun mati selepas dipanah petir ketika melalui jalan dari Jambatan Rimbayu ke Ladang Teh Seri Cheeding, dekat Sungai Jarom, Kuala Langat pada 6.20 petang, 2 Mei 2023.

Mangsa ketika kejadian dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Bandar Mahkota Banting yang terletak kira-kira 16 kilometer dari lokasi tragedi.

4. Di bawah pokok

Seorang maut manakala dua lagi cedera ringan selepas dipanah petir di Kampung Padang Tanjung berdekatan Masjid Padang Tanjung, Bukit Payong di Marang pada 1 Jun 2023.

Mangsa yang maut, Mohd Hasan Mohd Rani, 38, dari Kampung Surau Haji Mat Zin manakala dua mangsa cedera dikenali sebagai Mohamad Fadilah Jusoh, 37, dari Kampung Gemuroh, dan Abdul Hisyam Muhamad dari Kampung Paya Resak, di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, tiga sahabat terbabit dikatakan memikat burung di kawasan tanah lapang.

Lantaran hujan lebat berserta ribut petir, semua mangsa mencari tempat berlindung di kawasan berkenaan.

Allahyarham Hasan dikatakan berlindung di bawah pokok dekat tempat mereka memikat burung sebelum disambar petir.

Baca:

Kad Pengenalan Rosak? Senang sahaja nak tukar, dah tak perlu beratur di kaunter JPN, cepat siap pulak tu

Syarikat penerbangan buat peraturan kena timbang berat badan sebelum berlepas, tak ada terkecuali

Sepakan CR7 cederakan jurukamera, walau dahi benjol tetapi tetap selamba cover macho