Bagi mereka yang susah pastinya terpaksa memakan lauk sama asalkan perut tidak kosong
Bila sudah berkemampuan maka makanlah pelbagai versi makanan.
Buat pelakon Datin Atikah Suhaime, dia tidak menyangka resipi nasi goreng ibunya semasa mereka susah dulu menjadi pilihan keluarga mentua.
Jelasnya dalam satu video menerusi TikTok, Atikah menunjukkan cara masak nasi goreng ikan bilis namun menambah daging buat keluarga mentua.
“Nasi goreng ini ada kisah silamnya. Dulu keluarga saya masa susah hari-hari mama Tika buat nasi goreng tapi tak pakai daginglah, setakat ikan bilis sahaja.
“Kadang-kadang Tika teringin makan masakkan mama, jadi buatlah nasi goreng ala mama Tika masak. Papa mentua Tika terbau nasi goreng itu dia akan minta.
“Tika cakaplah ini masakan orang miskin sahaja, biasa-biasa je, yakin ke boleh makan? Sejak hari itu resipi nasi goreng ini sangat popular di rumah mentua,” katanya di TikTok.
Tambahnya juga dia memilih masak nasi goreng ini untuk memenuhi permintaan suaminya, Datuk Lokman Teh yang mengidam nasi goreng air tangannya itu.
“Kali ini bukan saya mengidam tetapi suami yang nak makan nasi goreng. Dia cakap siap mimpi lagi nak makan nasi goreng masakan saya.
“Ironinya keluarga saya di Singapura tak boleh telan langsung nasi goreng ini sebab trauma waktu susah dulu.
“Jadi itulah kisah nasi goreng resipi mama Tika ini. Alhamdulillah Tika bersyukur dengan rezeki yang Allah beri sekarang ini,” tambahnya.
Rata-rata netizen memuji Atikah yang sering melayan keluarga suami dan tidak melupakan keluarganya yang pernah hidup susah.
“Bagus Tika ni, masih ingat zaman susah dan sekarang dapat suami dan mentua yang baik.
“Orang biasa teringin nak makan makanan mewah, mereka yang kaya pula teringin nak makan yang biasa-biasa. Kadang-kadang sederhana lebih nikmat.
“Dulu arwah mak saya dengan ayah hidup susah, masak nasi goreng dengan lada kering atau telur sahaja, tapi itulah memori dan direbut anak-anak,” antara komen netizen.
Baca juga Elak Touch N Go pada Mykad expired, ini cara renew ramai tak tahu