Shukri Yahaya kerap benar bawa watak sebagai suami bersikap panas baran.
Bagi pelakon ini, dia sentiasa berlapang dada apabila terus ditawarkan karakter hampir sama sehingga didakwa tidak menampakkan kelainan.
Bapa kepada dua anak ini memberitahu dia sudah cuba sebaik mungkin melakonkan watak lelaki baran dan setakat ini, ujarnya, penonton masih menerimanya dengan baik.
“Jadi, saya tiada masalah sekiranya tetap diberikan watak sebegini yang masih sama pada masa akan datang kerana ia adalah rezeki.
“Saya tidak mungkin menolaknya kerana Allah sudah tentukan rezeki itu untuk saya.
“Mungkin juga tiada pelakon lain yang lebih sesuai untuk melakonkannya selain saya sebab jadi lelaki baran ini tidak mudah kerana perlu betul-betul menjiwai karekter itu, barulah boleh buat.
“Cuma, marah yang saya tunjukkan itu walaupun lakonan adalah perasaan sebenar diri sendiri kalau memang marah. Itulah marah Shukri Yahaya,” katanya, lapor Harian Metro.
Memegang watak Azim Hasibullah dalam drama ‘Layang Layang Perkahwinan’, Shukri, 36, tidak peduli dengan pandangan watak ‘stereotaip’.
Menurut suami kepada bekas pelakon, Tya Adnan ini, dia faham setiap orang yang menonton sesebuah drama itu pasti ada pandangan masing-masing dan hormati saja setiap pendapat diberikan.
“Bagi saya, watak Azim tetap ada beza dengan karakter Syed Adam Aizril yang pernah dilakonkan sebelum ini dalam Andai Itu Takdirnya.
“Sebagai Azim, ia lain daripada sudut pandangan, lontaran dialog, emosi dan penampilan.
“Apapun, macam saya kata, setiap pandangan dan pendapat diberikan itu saya terimanya dengan baik.
“Saya amat menghargai untuk buat lebih baik lagi dalam projek drama seterusnya nanti,” kata Shukri yang memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2011.
Sehingga kini Shukri sudah berlakon dalam sekurang-kurangnya 47 drama dan membintangi tujuh filem.
‘Layang Layang Perkahwinan’ arahan Eyra Rahman turut dibintangi Ezzanie Jasny, Keith Foo, Alya Iman, Arash Mohd, Datin Nina Juren, Aishah Elias, Kenji Sawahi, Haidar Hasanudin dan ramai lagi.
Baca:
Ini ibu bapa perlu tahu garis panduan pakaian sekolah sesi akan datang ketika cuaca panas melampau
Masak ketika maghrib dengan pintu terbuka, ibu husnudzon kuetiau goreng tiba – tiba ‘menghitam’