Realtime website trackingweb stats

Apabila negara dipimpin oleh orang tiada jiwa

Oleh ADINDA

Atriza Umar

Tidak ‘berjiwakah’ pemimpin negara ini?

Ingatkah kita tentang kisah Khalifah Umar Abdul Aziz. Seorang pemimpin yang mengenyang perut dan mengkayakan rakyatnya?

Membaca sejarahnya, tentu siapa pun mendambakan pemimpin sedemikian untuk negara Malaysia yang kita cintai ini.
Salah seorang gabenor ketika pemerintahan Umar Abd Aziz, Yahya ibn Said menceritakan pengalamannya;
“Umar ibn Abd Aziz telah mengutus aku ke sebuah tempat di Afrika Utara untuk membahagikan dana zakat. Lalu kucari fakir miskin di sana tetapi tiada seorang pun yang layak digelar fakir miskin. Khalifah Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya!”

Hingga akhirnya, zakat itu beliau putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya.
Dalam kisah yang lain, Pemimpin Bani Abbasiyyah mengatakan;
“Kami dapat menandingi kerajaan Bani Ummaiyyah dalam semua keadaan kecuali 4 perkara dan salah satunya ialah tiada orang seperti Umar ibn Abd Aziz dari kalangan kami buat selama-lamanya.”

Dinar emas yang digunakan ketika pemerintahan Umar Abdul Aziz di Damsyik

Keamanan dan kemakmuran yang dinikmati pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini tentunya disebabkan sifat qana’ah yang dimiliki oleh rakyat dan pemimpinnya.

Sifat yang disuburkan oleh beliau ke dalam diri rakyatnya. Selain sifat qana’ah, seorang Umar ini, turut melakukan pengislahan sehingga rakyatnya berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT berbanding hal keduniaan.
Itulah sebuah gambaran indah yang kita semua inginkan dalam sebuah pemerintahan yang adil dan saksama sebagaimana Allahd an Rasul-Nya inginkan.

Kita, teruskan berdoa Allah hadirkan segera segala itu.

Bukan tanda kalah!

Demi kelangsungan hidup dan ingin ‘mensifarkan’ kes tekanan perasaan dan jiwa, kemurungan apalagi bunuh diri, inisiatif hebat yang digerakkan rakyat untuk rakyat, dengan menyarankan kibarkan kain atau bendera putih di depan rumah.

Kempen kibar bendera putih rakyat Malaysia ini juga sebagai menterjemahkan rakyat terputus bekalan makanan serta memerlukan bantuan segera. Ia juga sebagai isyarat rakyat sudah terlalu penat dengan Flip Flop kerajaan kini.

Rakyat yang susah dan memerlukan mengangkat bendera putih di kediaman mereka untuk mendapatkan bantuan

Apalagi di saat pemimpin negara seakan memekakkan telinga dan membutakan matanya daripada melayani kebajikan utama rakyat di waktu Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dijenamakan menjadi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sedarlah wahai kerajaan PN, segala itu rakyat lakukan untuk menyelamatkan rakyat. Namun, kalian yang di atas seharusnya dan patut malu dengan solidariti serta kesungguhan yang rakyat lakukan ini.

Tidak terkecuali, ada yang sempat memperlekehkan tindakan yang dilakukan ini. katanya angkat tangan berdoa, bukan angkat bendera putih.

Membalas bicara tidak hikmah seorang pemimpin dari parti Islam itu, Pensyarah Kanan di UPSI, Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle memberikan maklumbalasnya berkaitan dua reaksi ahli politik tentang bendera putih iaitu, seorang YB Zuraida dan seorang lagi YB Nik Abduh.

“Jika kenyataan YB Nik Abduh adalah berkaitan dengan kempen angkat bendera putih untuk meminta bantuan maka saya katakan bahawa angkat bendera putih dalam kempen ini bukan bermakna kekalahan tetapi ia bermakna meminta bantuan jika makanan di rumah sudah habis.”

Kenyataan Nik Abduh di Facebooknya menerima kecaman daripada netizen yang menganggap dia tidak cakna kepada masyarakat

Menurutnya, ia kempen yang baik. Jangan dibaca kempen ini dari kaca mata politik kepartian.
“Masyarakat yang cakna bersemangat membantu mereka yang terjejas sewaktu PKP yang berpanjangan.”

Beliau yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berharap, agar usaha ini dapat membantu mereka. Doa dan meminta bantuan berjalan serentak. Tidak bermakna yang angkat bendera putih itu tidak mengangkat tangan berdoa!“Saya setuju dengan kenyataan YB Zuraidah dalam isu ini.”

Kata Emergency Medicine at Hospital Lahad Datu Muhamad Na’im Ab Razak pula, ternyata rakyat Malaysia ni kreatif dan cerdik terutama sekali dalam merangka isu kebajikan sesama rakyat.“Yalah, Menteri pun akur dengan cadangan rakyat untuk buat kempen Bendera Putih. Hidup rakyat! Kita jaga kita!” ujarnya merespon status Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia YB Zuraida.

Dalam pada itu Fdaus Ahmad yang berasal dari Tanjung Malim berkata;
“Orang buat kempen gantung bendera putih tu simbolik sesama rakyat untuk bersolidariti bantu sesiapa yang tak cukup keperluan atau tak tahan tanggung tekanan hidup. Tujuannya supaya jiran tetangga alert dan boleh bagi bantuan dengan cepat.”

Tegasnya lagi, angkat bendera putih ni bukan tanda kekalahan. Tapi tanda rakyat dah penat, dah tak larat, nak cari makan pun susah – sebab tu lah angkat bendera putih supaya orang lain jiran tetangga dapat membantu.
“Kalau sekadar angkat tangan berdoa boleh selesai masalah, tak ada orang terjun bangunan sheikh. Tak ada lah orang hidup susah struggle merempat,” ujarnya bagi menyelar kata Nik Abduh.

Tambahnya lagi, Tuhan memang suruh angkat tangan berdoa, dengan syarat mesti lah kena berikhtiar dan berusaha.

“Angkat bendera putih tu la salah satu ikhtiar dan usahanya sheikh. Berdoa kita minta tolong dengan Tuhan. Angkat bendera putih kita minta tolong sesama manusia. Takkan itu pun susah nak faham sheikh?”
Soalnya tegas, kalau inisiatif angkat bendera putih pun tak boleh, kau nak suruh rakyat yang teruk susah ni buat macam mana lagi?

“Pegi curi duit tabung masjid?” tukasnya untuk pemimpin pas yang juga Ahli Parlimen Bachok itu, yang mengeluarkan kata-kata menerusi status FBnya, rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT.

Antara perniagaan yang menyatakan sokongan kepada gerakan kempen kibar bendera putih #BenderaPutih dan bersedia memberi bantuan kepada masyarakat yang terkesan semasa pandemik Covid-19

Menerusi status Amin Ahmad pula, beliau berkata baginya kempen bendera putih ini baik.
“Ia satu bentuk komunikasi. Mesejnya dekat dengan maksud hadis, ‘Tidak sempurna iman seorang yang tidur kekenyangan sedang jirannya kelaparan.’ Ia adalah penekanan bahawa bantuan terlebih dahulu harus diusahakan kalangan terdekat.”

Dalam pada itu, seorang pemuka media yang berpengalaman dalam mengendalikan bual bicara di saluran TV1 RTM Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar berkata, kempen BENDERA PUTIH ini praktikal, berkesan dan kelihatan organik.
“Memaknakan pengertian sebenar #kitajagakita.”

Dan kita sebagai masyarakat yang punya keprihatinan, pekalah dengan keadaan sekeliling agar perkara yang tidak diingini, tidak terjadi lagi. Jangan biarkan pemimpin negara ini terus mengabaikan rakyatnya!

Kenapa tidak segera?!

Menyusulnya, bukan sehari dua, tetapi memakan bulan! Mana kecekapan seorang Perdana Menteri yang hebatnya mengisytiharkan darurat? Sebagai alasan untuk menutup parlimen dari bersidang dan mengenepikan isu rakyat?

“Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September nanti. September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah RM4.9 bilion,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion dalam Pengumuman Khas Pemulih semalam.

Setelah beberapa bulan rakyat melalui keperitan dan kesusahan, boleh pula bantuan itu lambat disalurkan. Bulan Ogos pula tu!

Sedari awal tahun lagi, rakyat sudah sangat sesak mendepani segala ini. Kata ‘menyusulnya’, mengalahkan lambatnya jalan seekor kura-kura. Adakah tunggu lagi banyak keputus asaan rakyat bergelimpangan, disebabkan kerajaan sedia ada lambat bertindak?

Wahai kerajaan yang memerintah, ingatlah bagaimana kisah seorang pemimpin yang sentiasa mengenyang dan mengkayakan rakyat itu!

Beliau telah pun diberi kepercayaan memimpin umat Islam ketika usia yang muda. Umar Abdul Aziz ini merupakan seorang yang paling banyak menangis kerana takutkan balasan neraka.

Apalagi ketika beliau membaca ayat ke-12 hingga 14 surah Al-Furqan yang bermaksud;
“Apabila ia (neraka) melihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar suaranya yang gemuruh kerana marahnya. Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka dengan dibelenggu, mereka di sana berteriak mengharapkan kebinasaan. (Akan dikatakan kepada mereka), “Janganlah kamu mengharapkan pada hari ini satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang berulang-ulang.”

Sewaktu di rumah pun beliau menangis kerana takutkan api neraka. Hinggakan, anaknya, Abdul Malik datang bertanyakan kenapakah beliau menangis?

Beliau menjawab, “Duhai anakku, ayah takutkan balasan Allah seandainya ayah menjadi pemimpin yang tidak adil.”

Padahal, jika kita menyelak kembali rekod sepanjang 7 tahun pemerintahan seorang Umar Abdul Aziz di Madinah, tidak ada langsung rungutan mahupun aduan daripada penduduk Madinah hingga pada akhir beliau menjadi khalifah, tidak ada seorang pun yang berhak menerima zakat.

Beliau juga mengembalikan harta-harta yang dirampas oleh khalifah terdahulu kepada pemiliknya. Bahkan, beliau meminta isterinya menyerahkan barang-barang perhiasan kepada baitul mal untuk diagihkan kepada penduduk yang lebih memerlukan.

Betapa mulianya insan yang bernamar Umar Abdul Aziz ini. Menggunung pengajaran yang kita boleh belajar mengenai ketokohan Umar Abdul Aziz ini.

Apakah pemimpin negara ini tiada sejentik rasa melihat keadaan rakyat yang sangat perit ini?

Menteri KPKT dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat “kantoi” langgar SOP adakan kenduri makan durian dalam tempoh PKP dan berbohong mengatakan ia adalah gambar lama

Islam menghargai kehidupan

Ketahuilah Islam sangat menghargai nyawa manusia. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;
“Siapa saja yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Siapa saja yang memelihara kehidupan seorang manusia, seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”
(Quran al-Maidah ayat 32)

Nabi Salallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:
Sungguh dunia ini hancur lebih ringan di sisi Allah daripada seorang Muslim yang terbunuh.
(Hadis Riwayat an-Nasa’i, at-Tirmidzi dan al-Baihaqi)

Maka, penjagaan terhadap nyawa manusia yang harusnya dilakukan oleh negara ialah termasuk menjaga manusia dari hal-hal yang mengancam nyawa atau membinasakan umat manusia.⁣

Sebagai contohnya, gangguan perompak, pembunuh, konflik yang mencetuskan pembunuhan, fasiliti umum (seperti jalan raya) yang rosak, dan sebagainya termasuklah dari ancaman virus yang membahayakan nyawa manusia.

Purata dua kes bunuh diri setiap hari dilaporkan bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021 berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tidak terkecuali, isu pandemik Covid-19 ini sewajarnya menjadi perkara penting yang diutamakan sebuah pemimpin negara, di tengah isu yang semakin bertambah, serta angka kematian yang meningkat.

Namun, jika kerajaan sebagai pengurus rakyat dan pemegang utama sebuah negara mengabaikan segala itu, maka bersedialah menanggung apa yang ia perbuat itu di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ayuh, selamatkan kehidupan dan negara ini

Oleh yang demikian, bersamalah berdoa dan usaha kita untuk meneruskan kelangsungan hidup sambil menjadi manusia yang lebih prihatin terhadap lingkungan yang terdekat. Mengambil peduli dan mengetahui keperluan mereka, dengan gencarkan solidariti kita untuk membantu sesama.

Jika tidak dapat semua, jangan tinggalkan semua. Tebarkan kasih sayang untuk sama membantu dan peduli, agar tiada lagi rakyat yang berlapar ketika kita mampu mengisi perut dengan makanan.

Moga dengan usaha yang sedikit itu, Allah bantu kita untuk mendapatkan kembali sebuah negara ini yang Baldotun Thoyyibatun Warabbun Ghofur, dengan dihadirkan-Nya seorang pemimpin seperti acuan Umar Abd Aziz, yang memimpin negara ini sebagaimana Allah dan Rasul-Nya inginkan. Yang mampu mengenyang, mengkayakan serta mendekatkan rakyatnya kepada Yang Maha Esa.

Teruskan!