Boleh Mengakis, Jom Kenali Apa Itu Asid Sulfurik Dan Kesan Kepada Kulit Manusia
Apabila perkataan asid disebut tentunya terdapat beberapa perkara yang timbul dalam kepala, antaranya adalah ‘bahaya’.
Asid yang merupakan sejenis sebatian atau larutan kimia bersifat masam dan mengakis.
Bahan ini tergolong dalam cecair berbahaya kerana boleh membawa kemudaratan pada kulit manusia.
Sesiapa yang terkena bahan kimia tersebut akan mengalami kelecuran tahap bahaya seperti yang dialami oleh pemain bola sepak, Faisal Halim yang mengalami kelecuran tahap 4 gara-gara menjadi mangsa simbahan asid baru-baru ini.
Kemungkinan ramai yang tertanya-tanya, bagaimanakah bahan kimia tersebut boleh merosakkan kulit?
Oleh yang demikian, mari ikuti perkongsian kami di bawah ini berkenaan dengan bahayanya kepada manusia.
Apa itu asid sulfurik?
Menurut Britannica, asid sulfurik merupakan sejenis bahan kimia yang tidak berwarna, berminyak, dan bersifat menghakis.
Bahan kimia ini disiapkan secara industri melalui tindak balas air dengan sulfur trioksida, yang seterusnya dihasilkan melalui gabungan kimia sulfur dioksida dan oksigen, sama ada melalui proses sentuhan atau proses kebuk.
Asid sulfurik adalah asid yang sangat kuat. Dalam larutan akuas (pelarutnya adalah air), ia mengion sepenuhnya untuk membentuk ion hidronium (H3O+) dan ion hidrogen sulfat (HSO4−).
Walau bagaimanapun, dalam larutan cair, hidrogen sulfat terion, membentuk lebih banyak ion hidronium dan ion sulfat (SO42−).
Kerana itu, asid ini mudah bertindak balas dengan air dan menghasilkan suhu tinggi dengan banyak logam, karbon, sulfur, dan bahan lain.
Lebih-lebih lagi, asid sulfurik pekat merupakan agen penghidratan (kehilangan cecair atau bendalir badan) atau dehidrasi yang kuat kerana menyerap banyak bahan organik, seperti kayu, kertas, atau gula dan meninggalkan sisa karbon.
Selain itu, larutan ini umumnya mengandungi 20, 40, atau 65 peratus sulfur trioksida, digunakan sebagai bahan kimia organik contohnya baja.
Kegunaan asid sulfurik
Biasanya, bahan kimia ini digunakan secara komersial berbanding bahan kimia lain.
Asid ini biasanya digunakan sebagai baja, pigmen pewarna, ubat-ubatan, bahan letupan, detergen, mineral bukan organik, dalam proses penapisan petroleum dan metalurgi.
Selain itu, asid sulfurik berperanan sebagai elektrolit dalam bateri penyimpanan asid plumbum.
Kesan pada kulit
Menurut MedlinePlus, bahan kimia ini boleh menyebabkan luka bakar yang teruk (lepuh) dan kerosakan tisu apabila bersentuhan dengan kulit.
Kementerian Kesihatan Malaysia mentafsirkan keparahan luka bakar berdasarkan kedalaman dan luas bahagian kulit yang terjejas.
Tahap keparahan luka bakar diklasifikasikan kepada empat iaitu :
Tahap pertama: Luka lecur pada lapisan kulit bahagian atas (epidermis).
Tahap kedua: Luka lecur yang melibatkan lapisan kulit atas dan lapisan kedua (epidermis dan dermis).
Tahap ketiga: Melibatkan keseluruhan lapisan kulit dan juga saraf menyebabkan rasa kebas.
Tahap empat: Luka lecur pada keseluruhan lapisan kulit sehingga melibatkan otot dan tulang. Saraf terlibat akan rosak sehingga hilang rasa sakit.
Difahami bahawa luas luka lecur dikira sebagai peratusan. Oleh itu, anggaran 1 peratus luka lecur pada badan bersamaan dengan ukuran selebar tapak tangan individu.
Semakin tinggi peratusan permukaan kulit yang lecur, semakin teruk keadaan pesakit. Luka lecur pada muka, tangan, kaki, dan kelangkang dikira sebagai luka lecur yang teruk.
Kesan luka lecur.
Bagi luka lecur tahap pertama, ia akan sembuh tanpa sebarang komplikasi.
Walau bagaimanapun, luka lecur yang lebih teruk boleh menyebabkan kehilangan cecair badan dari kulit yang cedera pada komplikasi awal.
Ini boleh menyebabkan hipotensi, suhu badan yang rendah, dan syok kepada mangsa.
Selain itu, mangsa juga boleh mengalami sesak nafas disebabkan luka pada saluran pernafasan, jangkitan kuman pada luka lecur, dan kerosakan pada saraf dan otot adalah dijangkakan.
Untuk kesan jangka panjang, mangsa akan mengalami pembentukan parut, kecacatan kekal, dan trauma akibat kesan luka lecur.
Baca:
Ini rupanya sebab bayi banyak menendang
Tampil ‘mewah’ di Met Gala, pereka fesyen ambil masa 1905 jam siapkan baju Alia Bhatt