Khalid Samad
Saya tertarik dengan usaha terbaharu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub yang membuat tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan bagi memujuk Pakatan Harapan (PH) agar bertemu di meja perundingan dengan beliau.
Pada dasarnya ianya dikatakan usaha untuk memenuhi nasihat YDP Agong supaya suhu politik negara diturunkan dan kestabilan politik tercapai. Dalam erti kata yang lain, supaya PH tidak berusaha untuk menjatuhkan beliau.
Secara ringkas, tawaran itu adalah:
1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
‘Transformasi kerajaan’ ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia, kata Ismail dalam kenyataan beliau kelmarin.
Kesemua tawaran ini adalah satu cadangan reformasi Parlimen yang sememangnya menjadi teras dalam perjuangan Pakatan Harapan sejak sekian lama iaitu ‘Reformasi’. Ianya bukan semenyeluruh seperti yang diperjuangkan PH, namun tiada yang boleh menafikan ianya sebahagian dari agenda ‘Reformasi’ yang pernah dan sedang dibawa.
Hampir kesemua tawaran Ismail ini adalah bersifat prinsip dan perjuangan, bukannya tawaran jawatan untuk para ahli Parlimen sebagaimana tawaran ‘schemes of thing’ yang ditawarkan kepada Ahli Parlimen BN dan PN oleh Mahiaddin sebelum ini.
Tawaran yang sama kekal dilakukan oleh Ismail Sabri selepas beliau mengambil alih tempat Mahiaddin, termasuk status ‘bertaraf Menteri’ kepada Mahiaddin sendiri. Sememangnya itu sahaja bahasa dan tawaran yang boleh memikat hati gerombolan ini.
Namun Ismail Sabri faham, bahasa dan tawaran yang sama tak akan ke mana sekiranya ditujukan kepada Ahli Parlimen PH. Bahasa dan tawaran yang boleh menarik PH ke meja perundingan adalah tawaran Reformasi, bukan jawatan atau kedudukan. Maka inilah yang ditawarkannya, bukan kerana dia sendiri memperjuangkan prinsip-prinsip berkenaan tetapi itulah yang diinginkan PH.
Jaminan balas yang diminta oleh Ismail dari tawaran ini pula adalah jelas dan sangat minima, iaitu tidak berusaha menggugat kerajaan beliau demi memastikan kerajaan yang ada stabil sehingga pilihan raya umum akan datang.
Ia termasuklah tidak membuat undi tidak percaya, tidak menolak Belanjawan yang akan dikemukakan nanti dan tidak membuat apa-apa usaha yang boleh menggugat atau menyebabkan diri dan kerajaannya jatuh. Itu pun diberikan jaminan bahawa sebelum Belanjawan atau Rang Undang-Undang baharu dibentangkan, ianya akan dibincang dan dipersetujui secara prinsip terlebih dahulu oleh PH.
Pada masa yang sama, ia tidak menghalang PH dari mengkritik dan membantah tindakan mereka dalam semua persoalan yang lain jika mereka menyeleweng dari tuntutan demokrasi dan keadilan.
Tawaran ini pula dikemukakan ketika PH sudah berusaha secara serius untuk mengembalikan mandat rakyat yang diberikan dalam pilihan raya ke 14 lalu, namun semua usaha itu gagal.
Mahiaddin Berjaya dijatuhkan, tetapi mereka kembali Bersatu setelah kelihatan berpecah untuk melantik Kembali sesama mereka sebagai Perdana Menteri.
Sememangnya para pengkhianat, pencuri, perompak dan penunggang agama lebih seronok dan selesa untuk kekal bersama dari membenarkan PH kembali berkuasa. Kalau PH Kembali berkuasa, sudah pasti segala jawatan mereka akan hilang begitu sahaja.
Atas kesedaran bahawa kesatuan gerombolan ini adalah begitu mantap dan kukuh, maka PH sudah mengambil keputusan, cukuplah, setakat itu sahaja. Tempoh untuk PRU 15 pun bukan lama sangat lagi dan oleh itu ‘politiking’ perlu ditamatkan supaya tumpuan boleh diberi kepada persoalan menangani pandemik dan kemerosotan ekonomi serta masalah kehidupan rakyat.
Selepas keputusan itu dibuat, kini Ismail membuat tawaran reformasi kepada sistem yang ada sebagaimana yang diperjuangkan PH sebelum ini.
Apakah kita harus menolaknya? Inilah yang perlu difahami oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.
Buat masa sekarang, Majlis Presiden Pakatan Harapan sedang membuat penilaian serius terhadap tawaran ini dan membuat tawaran balas kepada kerajaan Ismail.
Kita telah melantik jawatankuasa lima anggota untuk berbincang dengan lima jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan Ismail untuk membincangkannya.
Ada yang berkata, jika kita menyokong cadangan Ismail ini bermakna Ismail yang menang dan beliau adalah roformer sebenarnya.
Bagi saya, ia tidak begitu. Ismail terpaksa menyokong reformasi yang kita cadangkan sebelum ini. Inilah antara manifesto yang kita cadangkan sebelum PRU 14 lalu.
Ismail terpaksa membuatnya untuk kepentingan kerajaannya dan kita pula mendapat reformasi sistem yang kita perlukan untuk kepentingan rakyat dan negara ini.
Saya ucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana mengiktiraf bahawa perjuangan kami berpaksikan prinsip, dan oleh itu tawaran yang dibuat bersifat prinsip-prinsip Reformasi dan bukan tawaran jawatan. Ini satu pengiktirafan yang sangat berharga bagi kami.
Kedua, beliau melaksanakan program kami demi mendapatkan persefahaman bersama kami dan dengan itu membantu kami mencapai apa yang diperjuangkan kami selama ini. Rakyat dan negara akan mendapat manfaat dari Reformasi ini.
InsyaAllah PH akan mendapatkan kembali mandat rakyat dalam pilihan raya umum ke 15 dan melaksanakan sendiri segala cadangan dan idealisme perjuangan yang telah kita canaikan bersama sebelum ini.
Ini kerana, akhirnya, yang perlu bukan sekadar reformasi dari segi peraturan dan perundangan tetapi juga kepimpinan yang komited kepada prinsip-prinsip reformasi ini sebelum ianya boleh dilaksanakan sepenuh dengan jayanya.
KHALID ABD SAMAD
MP Shah Alam
Pengarah Komunikasi AMANAH