KUALA LUMPUR, 29 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan di kedudukan ke-10 dalam senarai ‘The World’s 500 Most Influential Muslims’ edisi 2026, menjadikannya antara tokoh Islam paling berpengaruh di dunia.
Senarai berprestij itu diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) yang bernaung di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt, berpangkalan di Amman, Jordan.
Pencapaian terbaharu ini menyaksikan peningkatan berterusan kedudukan Anwar, selepas menduduki tempat ke-15 pada 2025 dan ke-17 pada 2024, sekaligus mencerminkan pengaruhnya yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa.
Menurut laporan rasmi penerbitan tersebut, Anwar memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas beberapa hari konflik bersenjata tercetus di sempadan kedua-dua negara itu.
“Anwar membantu membina semula kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di rantau Asia Tenggara,” menurut laporan The World’s 500 Most Influential Muslims 2026.
RISSC turut menyorot pendirian tegas Anwar dalam isu kemanusiaan di Gaza, menggambarkannya sebagai tokoh Muslim yang lantang membela hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan.
Laporan itu turut merujuk kepada pertemuan Anwar dengan pegawai Hamas, termasuk bekas pemimpin Ismail Haniyeh, yang kemudiannya menerima kecaman daripada pihak Amerika Syarikat.
Selepas pembunuhan Ismail Haniyeh, Anwar dilaporkan memuat naik hantaran takziah di media sosial yang kemudian dipadam oleh platform berkenaan, mendorong beliau mengeluarkan kenyataan tegas:
“Biarlah ini menjadi mesej jelas kepada Meta — hentikan sikap pengecut dan jangan menjadi alat kepada rejim Zionis Israel yang menindas.”
Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi profil antarabangsa Perdana Menteri Malaysia sebagai pemimpin Islam moderat yang bukan sahaja berperanan aktif dalam isu diplomasi serantau, tetapi juga konsisten menyuarakan keadilan global dan solidariti terhadap Palestin.