Angka kes harian Covid-19 mencecah 8,868 kes

Oleh ADINDA

Semalam baru sahaja diumumkan perlantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan baru dengan lewat malamnya pula Majlis Kepimpinan Tertinggi UMNO bermesyuarat dan memutuskan untuk menarik sokongan kepada Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin.

Dalam kehangatan dan keributan suasana politik negara itu, hari ini diumumkan pula angka kes Covid-19 harian mencecah 8,868 menjadikan jumlah keseluruhan 808,658 kes.

Seperti dilaporkan di laman rasmi Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga 8 Julai 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 8,868 kes. Angka ini merupakan kedua tertinggi yang pernah dicatatkan berbanding angka tertinggi pada 29 Mei lalu sebanyak 9,020 kes.

 

Menjadi persoalan besar dikalangan masyarakat akan keberkesanan PKPD di Selangor dan beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan yang mana terus menjadi penyumbang terbesar angka pesakit harian dengan Selangor 4,152 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1,133 kes.

 

Dalam masa yang sama, kluster terbesar masih lagi kluster tempat kerja dan menunjukkan trend peningkatan yang berterusan. Semalam, 7 Julai 2021 juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga mengumumkan membenarkan lebih banyak sektor beroperasi di kawasan PKPD di Selangor bermula 7 Julai ini.

Statistik kluster Covid-19 sehingga 7 Julai 2021

 

Keputusan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini dan dibincangkan bersama antara MITI, Menteri Kewangan dan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi). – AWANI