Jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman—itulah pepatah yang sering dikongsi oleh orang lama.
Nama Mohd Alfishahrin bukanlah asing bagi para penunggang motosikal jarak jauh.
Beliau dan isterinya telah melakukan sesuatu yang luar biasa dengan menempuh ribuan kilometer menaiki Honda RSX 150cc untuk menghadiri Piala Asia di Qatar dan Olimpik Paris 2024.
Menerusi hantaran terbaru di Facebook, Alfishahrin berkongsi pengalaman manisnya semasa melalui sebuah lebuh raya di Jerman.
“Tengah ride dekat lebuh raya Jerman, ada seorang penunggang motosikal tegur kami.
Pada mulanya, dia hanya merakam video, tetapi apabila kami berhenti di R&R kecil, dia juga turut berhenti.
“Dia menawarkan untuk membelanja kami isi minyak di R&R seterusnya. Kami tidak memandu dengan laju walaupun lebuh raya itu membenarkan kelajuan hingga 400 km/j, tetapi dia sanggup mengikuti kami dengan kelajuan 100 km/j sahaja menggunakan motosikal besar dia,” kata Alfishahrin.
Menurutnya, harga minyak di stesen-stesen minyak di Eropah tidak konsisten. Ia berbeza mengikut lokasi. Harga di tepi lebuh raya boleh mencecah €2.30 (RM11.21) seliter, manakala di kawasan kampung, harganya hanya sekitar €1.60-€1.70 (RM7.80-RM8.28).
“Sebelum bertemu dengan penunggang motosikal ini, kami sudah pun mengisi minyak penuh. Jalan yang kami lalui tidak terlalu jauh, jadi ketika isi minyak, cuma €4.80 (RM23.39) sahaja yang diperlukan untuk penuh.
“Dia ketawa—‘Hanya ini?’—Ya, tangki motosikal kami kecil (BMW GS1250), kami cuma memerlukan 4.5 liter, walaupun benar-benar kering pun hanya memerlukan €8-€9 (untuk isi penuh).
“Dia kemudian belikan kad minyak. Tidak pasti berapa banyak yang ada dalam kad itu, mungkin sekitar €20 (RM97.45). Alhamdulillah, kami dapat menjimatkan sedikit petrol,” kongsi Alfishahrin.
Selepas mengisi minyak, mereka berbual seketika sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.
Alfishahrin meluahkan rasa syukurnya kerana telah bertemu dengan ramai orang baik sepanjang perjalanan tersebut.
“Alhamdulillah, banyak jumpa orang baik-baik,” kata Alfishahrin.
BACA: ‘Wujud rupanya’ Pekerja kapal teruja tengok fenomena ‘Hujan setempat’