Akhirnya ! laporan kemalangan LRT dibentang ke Kabinet esok

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Laporan siasatan kemalangan membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lalu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet esok, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Ka Siong berkata laporan itu disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan anggota diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Ka Siong yang berpuas hati dengan hasil laporan itu turut menyatakan bahawa ia dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya serta diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada jawatankuasa itu.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras beberapa hari ini, bertungkus-lumus siang malam termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya, membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temu siasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan,” katanya.

Insiden pada jam 8.33 malam 24 Mei lalu mengakibatkan sebuah tren tanpa penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC.

Berkongsi mengenai isi kandungan laporan yang sedang diteliti itu, Ka Siong berkata terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) tren Rapid Rail.

Gambar: menunjukkan kerja-kerja pengalihan dua tren LRT yang terbabit dalam kemalangan 24 Mei 2021.
– Foto ihsan FB Wee Ka Siong

“Bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan Rapid Rail, tetapi penemuan dan cadangan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang,” katanya.

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]