Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang menegaskan bahawa video yang disebarkan sejak malam Rabu tidak mengandungi unsur rasuah.
Namun, Rubin yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, beliau bersedia
memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika diperlukan.
“Saya tidak melihat sebarang elemen rasuah dalam pertemuan tersebut. Saya tidak rasa perlu disiasat,
Tetapi jika SPRM memanggil, saya akan memberi kerjasama penuh,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita melalui WhatsApp pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada video yang dimuat naik sejak malam Rabu, di mana beliau kelihatan berbincang dengan seorang individu mengenai mendapatkan kuota atau lesen.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Kemabong, Rexy Yankat, menafikan sekeras-kerasnya bahawa video berkenaan melibatkan unsur rasuah yang membabitkan ADUN Kemabong.
“Video tersebut sebenarnya merakamkan perbincangan perniagaan yang belum dimuktamadkan. Seorang individu telah menggunakan tipu muslihat dengan membawa pihak daripada ‘Kartel Mineral’ yang kononnya adalah ‘pelabur’ untuk membincangkan peluang perniagaan.
“Nasib baik, wakil rakyat itu segera menyedari bahawa pertemuan tersebut hanyalah satu pembaziran masa dan mungkin mempunyai agenda tidak baik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Rexy juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas kebijaksanaan beliau dalam menamatkan kontrak berkenaan, yang dipercayai lebih mementingkan keuntungan peribadi daripada hasil bumi Sabah dan bukannya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negeri.
Sebelum ini, sebuah portal berita memuat naik satu lagi video yang mendedahkan perbualan seorang ADUN dari Sabah dengan seorang ahli perniagaan yang didakwa berusaha mendapatkan kontrak melalui tawaran wang jutaan ringgit.
Dalam pendedahan tersebut, perbualan itu melibatkan ahli perniagaan yang menawarkan RM3 juta untuk mendapatkan kuota atau lesen bagi memasuki kawasan yang diinginkan.
BACA: Lelaki ini kongsi jalan ‘shortcut’ rentas 3 negeri kurang 1 minit