Atriza Umar
Isu terbaharu yang tular menggemparkan negara mengenai seorang anak istimewa yang dikenali sebagai adik Bella, dipercayai menjadi mangsa dera di rumah kebajikan Rumah Bonda. Ia meraih perhatian masyarakat Malaysia, hingga wujudlah kempen tanda pagar #JusticeForBella.
Bella merupakan seorang kanak-kanak OKU sindrom down berusia 13 tahun dan ketika usianya 7 tahun, ia dijaga dengan baik di Rumah Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah.
Pada tahun lepas ketika usianya 12 tahun, Bella dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak untuk disambung perintah penjagaan di rumah berkenaan. Pada waktu itulah beliau bertemu seorang pengasas Rumah Bonda, yang meminta hakim memberi peluang kepada dirinya untuk menjaga Bella, dan permohonannya diluluskan.
Tersebar wajah seorang Bella yang penuh keceriaan akhirnya berubah menjadi kemurungan, trauma, keliru serta takut. Badannya penuh dengan kesan parut, tangan kanan dan kiri pula terdapat luka yang dalam serta kudis yang besar. Apakah yang telah berlaku terhadap anak ini?
Sebagaimana memetik kata aktivis Akhi Fairuz Al-Jengkawi pada 12 Julai lalu:
“Bella dipercayai telah didera! Siapa yang mendera beliau? Masih dalam siasatan pihak polis. Laporan polis telah dibuat pada 24 Jun yang lepas. Hari ini 12 Julai, hampir 3 minggu selepas laporan polis dibuat. Khabarnya, Siti Bainun telah ditahan oleh pihak polis 6 Julai yang lepas. Segala hasil siasatan tidaklah diketahui.”
Penulis fikir, orang yang tidak mempunyai perasaan atau jiwanya rosak sahaja yang tiada rasa belas simpati dan kasihan terhadap apa yang terjadi terhadap anak ini.
Untuk mengetahui kisah terperincinya, kita semua boleh ke https://bit.ly/36DRoaY, terima kasih diucapkan kepada Puan Emy Shafinaz kerana mengumpulkan semua bahan-bahan penulisan untuk dirujuk masyarakat tentang #JusticeForBella melalui statusnya pada 12 Julai lalu.
“Moga nasib adik Bella terbela dengan seadil-adilnya. Sedihnya la bila anak down syndrome ni diperlakukan macam tu. Mujur juga Bella ni boleh bercakap maka boleh la dia bagitau siapa yang buat dia begitu.. Kalau anak autisme? Yang non verbal? Haih.. Tak dapatlah dibayangkan..,” luah Emy.
Boleh jadi terdapat sesetengah pihak merasakan kerana telah ditahan mereka yang tertuduh bagi kes penderaan itu, bolehlah menarik nafas lega dan tidak perlu berbuat apa-apa lagi.
Herdikan rakyat
Hakikatnya tidaklah sedemikian. Seharusnya kita sebagai rakyat meneruskan #HerdikanRakyat agar pihak kerajaan sentiasa lebih peka dan peduli dengan isu sebegini selain mengenakan tindakan kepada mereka yang telah dikenal pasti melakukan jenayah penderaan yang meninggalkan kesan sangat mendalam seperti isu adik Bella ini.
Tidak kira siapa yang terlibat melakukan jenayah penderaan seperti itu mahupun mereka yang bersekongkol, wajib diheret dan dikenakan tindakan yang berat tanpa ada kompromi!
Sebagai masyarakat yang punyai adab dan keprihatinan yang tinggi, kita juga perlu sedari bahawa penjagaan anak-anak OKU ini bukan hanya tanggungjawab keluarga mereka sahaja, apatah lagi jika anak-anak itu diletakkan di pusat jagaan.
Namun, peranan pihak kerajaan adalah yang utama dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan untuk membenarkan pusat-pusat jagaan seperti itu beroperasi.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak dan Wanita (KAWAN), Dr Hamidah Mat, masyarakat perlu kenal golongan OKU dengan cara membaca, mengambil tahu dan prihatin.
“Pihak kerajaan juga perlu mengetengahkan polisi, penguatkuasaan, hukuman kepada yang melakukan jenayah penderaan, mahupun pembelaan sebagai suatu usaha memberi pendedahan yang jelas kepada rakyat,” ujarnya ketika ditanya tentang isu ini.
Beliau berkata, ini bagi memastikan atau menjadi salah satu usaha dan inisiatif menangani sebarang pencabulan hak dan sebarang perkara yang tidak diingini seperti jenayah penderaan yang berlaku ini.
Advokasi berkaitan OKU
“Hakikatnya, Islam datang dengan tujuan dan matlamat yang jelas yang dikenali sebagai maqasid syariah yang mempromosikan penjagaan nyawa manusia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun keupayaan mereka,” tegas Dr Hamidah lagi.
Beliau yang juga Penaung projek KAWANDA, sebuah projek pembangunan kanak-kanak remaja OKU Simpang Renggam berkata, tentunya matlamat kemanusiaan yang dibawa oleh Islam sangatlah mendasar kepada fitrah iaitu memenuhi keperluan manusia itu sendiri.
Siri-siri advokasi berkaitan OKU perlu dipertingkatkan agar masyarakat lebih peka dan tahu sisi-sisi yang mana mereka juga boleh berperanan membantu, antaranya mendidik masyarakat tentang siapa OKU, apa keupayaan mereka, apa potensi mereka, bagaimana cara memberi atau menyalurkan bantuan kepada mereka.
Selain itu, usaha-usaha sebegini perlulah dilakukan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara berterusan dan bukannya bermusim, agar masyarakat sentiasa peka dengan keadaan sekelilingnya dan dapat ditangani dengan sebaiknya.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut mengambil inisiatif menganjurkan Bicara Bina Negara (BBN) yang bertajuk ‘Pandemik Covid-19: Kesan Kepada OKU’ pada 24 Julai ini pukul 10.00 pagi di FB rasmi IKRAM dan YouTube TV IKRAM.
Forum kali ini akan mengetengahkan tiga ahli panel berpengalaman iaitu Ahli Dewan Negara yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral, YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr Aizan Sofia Amin dan ibu kepada tiga anak OKU iaitu Pn Salwa Mohd Salleh.
Pakar Perubatan Pemulihan UiTM yang juga aktivis Yayasan Ikram Malaysia, Dr Wan Najwa Wan Mohd Zohdi pula bertindak sebagai moderator BBN ini yang bakal mengupas tentang ‘survival’ golongan OKU pada musim pandemik.
Sudah pasti pendidikan mengenai golongan OKU mampu melahirkan masyarakat yang prihatin dan empati terhadap nasib golongan ini, lebih-lebih lagi pada musim pandemik sekali gus memastikan mereka dibantu dan dibela.
Atriza Umar merupakan Pegawai Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia