Ada wanita China menyamar sebagai seorang Muslim dengan memakai niqab ketika mengemis.
Terdapat juga wanita warga asing tergamak menggunakan kanak-kanak bagi meraih simpati demi mendapatkan wang.
Itu antara penemuan Jabatan Imigresen semasa menggempur pengemis asing di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hasilnya, pihak penguatkuasaan terbabit menahan lapan warga asing berumur antara lapan bulan dan 78 tahun.
Mereka terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga China, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistan, serta seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Jordan.
Operasi pada 1 0ktober bermula 6 petang itu yang melibatkan 18 pegawai imigresen dibuat susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan mengemis melibatkan warga asing di sekitar kawasan tumpuan pelancong di ibu kota itu.
Serbuan itu menyaksikan salah seorang warga asing yang diperiksa telah membuat provokasi dengan berpura-pura mengalami kesakitan dan pengsan.
Dia juga cuba untuk melarikan diri apabila pegawai operasi bertindak untuk membantu.
Pihak Imigresen turut memberitahu seorang perempuan warga China dikesan menyamar sebagai seorang wanita Muslim.
Individu tersebut memakai niqab untuk menutup identiti sebenarnya yang bukan seorang Muslim.
Wanita lain yang ditahan turut memakai niqab dan menggunakan kanak-kanak bagi meraih simpati bagi mendapatkan wang.
Mereka didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di negara ini iaitu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama, dan kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam masa sama, rakyat Malaysia juga diseru supaya tidak mudah ‘cair’ dengan muslihat dan helah warga asing yang sudah biadab menunggang agama demi menimba kekayaan dengan cara mudah.
Baca:
‘Saya ni dahlah berwajah Jawa’, ini jawapan Beto Kusyairy apabila diminta tayang badan