Dapat hasil lumayan hanya tawar buat surat tak hadir sekolah, harga serendah 20 sen. Dengan kemudahan akses internet dan laman e-dagang, orang ramai jadi lebih kreatif dalam merebut peluang untuk menjana pendapatan.
Bagaimanapun, tindakan seorang penjual di Shopee yang menyediakan perkhidmatan membuat surat tidak hadir ke sekolah mengejutkan netizen di media sosial.
Perkara ini dikongsikan seorang pengguna Twitter @malissaali yang menyatakan perkhidmatan itu sebagai cara mudah untuk mendapatkan duit. Selain ciapan, beliau menyertakan tangkap layar jualan di laman Shopee.
Cemtu je dia dapat seratus ringgit 🤣 pic.twitter.com/ql13PeScQl
— Malissa🧣 (@malissaali) May 6, 2023
Malah, harga bagi sekeping surat yang dibuatnya berharga 20 sen sehingga RM1. Menjengah ke akaun e-dagang peniaga tersebut, peniaga itu turut menawarkan perkhidmatan surat peletakan jawatan, permohonan cuti mahupun surat-surat lain yang diperlukan.
Menariknya, peniaga berkenaan menerima penarafan lima bintang daripada 146 ulasan yang diterima. Kesemua pelanggan turut mengesyorkan perkhidmatannya selain memuji servis yang terbaik.
Susulan itu, ciapan yang tular itu menjadi bualan netizen dan ramai mengakui bayaran sebanyak 20 sen yang dikenakan peniaga tersebut sebagai berbaloi selain menyifatkannya sebagai kreatif dalam usaha menambah pendapatan.
Tambahan pula, tidak semua orang dapat membuat surat dengan baik selain sibuk dengan hal yang lebih penting. Malah, ada sebahagian netizen yang merasakan harga yang ditawarkan terlalu murah untuk servis membuat surat atau template.