Pemuda tunjal kepala wanita akhirnya buka mulut, baru tahu cerita sebenar. PASTI ramai masih ingat tentang insiden lelaki berbaju merah bertindak kasar dengan menunjal kepala seorang pemandu wanita pada awal Jun lalu.
Terbaharu lelaki bernama Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, itu tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Malah Zaim yang selesai menjalani hukuman penjara selama tujuh hari turut menceritakan situasi sebenar ketika kejadian itu berlaku.
“Pertama sekali, saya mahu meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia sebab kelakuan saya terhadap seorang wanita.
“Di sini saya nak ceritakan situasi sebenar, daripada A sehingga ke Z, apa yang jadi pada diri, isteri serta anak-anak dan kereta ketika sudah habis beriadah untuk pulang ke Shah Alam.
“Sewaktu saya turun dari Cameron Highland di Jalan Tapah, keadaan jalan agak sesak. Saya nampak satu kenderaan pacuan empat roda dan sebuah Perodua Myvi di belakang saya sedang memotong barisan.
“Seperti biasa saya meneruskan perjalanan dan Myvi tersebut masih ada di belakang saya, sehinggalah sampai ke satu selekoh tajam,” imbas Zaim.
Dia tampil menjelaskan perkara itu menerusi platform YouTube Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi.
Namun kata Zaim, insiden mencemaskan tiba-tiba berlaku ketika kenderaan mereka menghampiri satu selekoh tajam.
“Saya fokuskan pada selekoh, saya memang tak pandang belakang. Ada satu kereta bertentangan nak masuk dan tiba-tiba saya nampak dia menghala ke saya sambil ‘brake’ kecemasan dan membunyikan hon.
“Saya tengok di belakang ada sebuah kereta Myvi nak potong tapi tak lepas,” ceritanya.
Pada ketika itu kenderaan dipandu Zaim berada ditengah-tengah dan jika dia tersilap langkah kemungkinan mereka sekeluarga jatuh ke gaung adalah tinggi.
“Saya nak tekan minyak, memang dah tak lepas dah, kereta ada di depan. Maknanya saya berada di tengah-tengah. Masa tu kereta Myvi dipandu wanita tu dah tekan brake kecemasan dan menghala ke arah saya.
Tangkap layar video menunjukkan Zaim menunjal kepala wanita pemandu Myvi.
“Saya pun brake juga menyebabkan tayar kereta dah terjatuh daripada jalan raya. Dekat situ saya bernasib baik sebab tak tekan minyak. Kalau tidak, maknanya kereta kami jatuh ke gaung. Kereta lain di belakang pasti akan ikut sekali.
“Saya brake kecemasan pun, isteri dah jatuh, perut dah kena kerusi hadapan dan mengadu sakit… anak-anak jatuh juga,” ceritanya lagi.
Selepas kejadian mendebarkan itu, Zaim meneruskan perjalanan seperti biasa sehinggalah tiba di Lata Iskandar yang berjarak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
Dia kemudiannya berhentikan kereta kerana sudah tidak dapat lagi mengawal perasaan marahnya terhadap pemandu wanita tersebut.
Masa saya brake kecemasan tu pun isteri dah jatuh, perut kena kerusi hadapan dan mengadu sakit… anak-anak jatuh juga. Katanya.
Setelah turun dari kenderaan dan menghampiri kereta Perodua Myvi berkenaan, Zaim bercakap secara baik kepada wanita ini.
Namun dakwanya wanita tersebut bercakap secara kasar sehingga menimbulkan kemarahannya.
“Masa turun tu saya cuba cakap tapi dia menjawab-jawab menyebabkan saya marah dan masa nak pergi tu dia masih menjawab menyebabkan saya patah balik dan tepuk dahi dia.
“Seorang suami tengok anak isteri dah lintang-pukang kat belakang, apa perasaan? Saya pun tak boleh fikir masa tu,” katanya.
Zaim tampil untuk menceritakan situasi sebenar terjadi menerusi YouTube milik Yusuf Azmi.
Tambah Zaim lagi, hukuman penjara yang dijalani baru-baru ini banyak memberi kesedaran untuknya.
“Pengajaran saya dapat masa dalam penjara tak dapat nak dikongsikan. Tapi masa dalam penjara tu saya banyak berfikir panjang.
“Apa-apa pun saya mungkin akan buat laporan terhadap wanita itu. Daripada pihak belah saya, saya dah terima hukuman penjara dan saya dah dapat kesedaran.
“Saya nak buat permohonan maaf atas perbuatan saya terhadap dia,” jelasnya dalam video berkenaan.