Pemilihan PKR Afdlin Shauki Cabar Nik Nazmi Di Setiawangsa, Hans Isaac Lawan Altimet Di Ampang. Penglibatan kumpulan seni dalam pemilihan parti suatu perkembangan besar buat lanskap politik Malaysia. Saya melihat perkembangan yang baru ini, sedikit sebanyak memberikan mesej yang jelas kepada saya bahawa politik tidak membataskan sesiapa.
Semua rakyat Malaysia mempunyai hak di dalam demokrasi berparlimen di Malaysia. Sebelum ini, kita hanya menyaksikan artis seni melontarkan mesej di dalam medan drama dan filem sahaja. Jarang kita lihat mereka memberikan pandangan terbuka kepada masyarakat.
Kalau dulu, sebut sedikit kritikan, habis periuk nasi diganggu. Kini tidak lagi, media dan masyarakat lebih terbuka, dan kerajaan juga tidak mengganggu mana-mana pandangan yang dilontarkan.
Akhirnya, pentas Arena Panggang bukanlah satu-satunya medan untuk mereka ‘berlagak’ seperti membahas seperti ahli parlimen. ruang sudah terbuka luas selari dengan penerimaan rakyat. Sebelum ini pun banyak juga lirik lagu, drama dan filem yang memasukkan unsur-unsur politik dan kritik sosial.
Dengan terbuka saya ingin katakan, selamat datang penggiat seni dalam pentas politik Malaysia. Kita mungkin boleh melahirkan Arnold Schwarzenegger, Ronald Reagen, Clint Eastwood dan lain-lain artis antarabangsa yang terjun dan berjaya dalam dunia politik.
Saya percaya, pengarah filem dan pelakon sebelum ini bertungkus lumus mendalami watak dan menghayati cerita lebih lagi yang mengisahkan kehidupan sebenar rakyat. Maka dengan menjadi ahli politik, mereka juga akan mengambil pendekatan yang sama.
Melihat semula lirik lagu Amboi dari Altimet, banyak yang boleh kita kaitkan dengan kehidupan kita. Itulah seni!
Danial Al-Rashid