Sebelum ini dalam satu sidang media khas Menteri Kesihatan, diumumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober ini. Peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.
Menurut laporan Harian Metro semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata dengan adanya varian Delta, saintis seluruh dunia sudah mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak susah disebabkan varian baharu.
“Sebab itulah kita kena terima hakikat bahawa akhirnya adalah ke peringkat endemik dan ini bukan hanya Malaysia sahaja yang kata.
“Singapura juga sudah mengatakan bahawa Covid-19 adalah endemik. Saya rasa tidak ada negara yang akan mengatakan bahawa SARS-CoV-2 ini adalah endemik sudah mengaku kalah terhadap pandemik ini.
“Ia bukanlah mengaku kalah, tetapi realiti. Negara seperti Singapura pun yang pada asalnya melaksanakan pembendungan supaya kesnya sifar juga sudah menerima hakikat bahawa mereka kemungkinan tidak boleh lagi capai kosong kes.
“Australia juga pernah merekodkan tiada kes Covid-19 namun kini menerima untuk hidup bersama virus, sama juga dengan New Zealand,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, cara virus berevolusi dengan munculnya varian Delta dan mungkin varian lain baru dikesan menyebabkan perlu menerima hakikat kena hidup bersama virus walaupun pada awalnya negara melaksanakan kawalan pergerakan dan pembendungan.
Dalam masa yang sama, Khairy Jamaluddin turut mengatakan penerangan untuk kefahaman kepada orang ramai memerlukan sedikit masa termasuk fakta bahawa vaksinasi semata-mata tidak akan melindungi daripada virus.
“Langkah kesihatan awam lain perlu terus dikekalkan melalui prosedur operasi standard (SOP) lebih mudah difahami dan tidak terlalu rumit.