Pemergian pendakwah terkenal Ebit Liew beserta rombongannya ke Gaza, Palestin bulan lepas telah mendapat perhatian serta sokongan daripada kebanyakkan rakyat Malaysia.
Walaupun ada yang mempersoal keperluan Ebit ke luar negara dikala pandemik Covid-19 masih ada di seluruh dunia ia tidak menjadi halangan untuk meneruskan misi bantuannya.
Baru-baru ini kecoh pula apabila seorang artis rap, Caprice dakwa Ebit menggunakan kanak-kanak Palestin untuk kandungan media sosial.
Hari ini satu-satunya warga Malaysia yang tinggal di Gaza sejak 2013, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman mendedahkan tindakan Ebit Lew yang memasuki wilayah Gaza tidak mengikut prosedur biasa yang NGO lain lalui dan pelbagai isu yang timbul sejak kehadirannya disana.
Nadir telah memuat naik tulisannya di kumpulan Telegram miliknya dengan nama Nadir Al-Nuri yang telah mempunyai pengikut seramai 245,968 orang. “Secara peribadi saya tidak pernah menyimpan perasaan dengki, iri hati apalagi memperlekehkan perjuangan seseorang yang umum mengetahui adalah seorang insan hebat dan terkenal di bumi Malaysia. Penulisan ini hanyalah tidak lain sebagai teguran kasih-sayang, iktibar dan pedoman untuk mendidik terutama bagi diri saya, tim EL dan semua yang terlibat” tulis Nadir.
Pengikut di Malaysia risau tetapi team Ebit Lew bersiar-siar di Mesir
Semasa Ebit Lew dan kumpulannya berada di Kaherah, Mesir, mereka cuba dihubungi Nadir untuk mendapatkan khabar berita tetapi gagal sehingga mengundang pelbagai spekulasi dan kebimbangan pengikutnya di Malaysia kerana hampir sebulan tiada apa-apa perkembangan yang dikongsi.
Tetapi berdasarkan maklumat rakannya yang berada di Kaherah, Ebit Lew dan rombongannya hanya berada di hotel dan bersiar-siar di kawasan pelancongan termasuk melawat piramid.
“Tim EL dimaklumkan rakan-rakan di Cairo masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Husein dan melawat piramid (seperti post oleh PAnya) sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran memasuki ke Gaza” kata Nadir.
Barang sumbangan dibeli di Mesir masih tersadai
Menurut Nadir, cara terbaik untuk memberi bantuan barangan keperluan ke dalam Gaza adalah dengan membeli barangan tersebut pada peniaga tempatan di Gaza kerana memberi pulangan yang lebih baik kepada peniaga dan penduduk tempatan.
Tetapi rombongan Ebit Lew dikatakan membawa empat buah lori yang membawa muatan barangan yang dibeli dari Mesir dan masih tidak dibenarkan untuk dibawa masuk.
Berdasarkan pengalaman peribadinya, hal ini dikhuatiri menyebabkan barang yang dibawa rosak kerana terlalu lama berada di pintu sempadan dan membawa kepada pembaziran.
Ebit Lew tidak hormat penduduk Gaza
Apabila mendapat berita rombongan Ebit Lew sudah hampir memasuki Gaza pada pada jam 11 malam, Nadir telah meninggalkan kerja-kerja sukarelawannya lalu bergegas ke sempadan bersama anaknya, Naeem untuk menyambut kehadiran Ebit Lew serta rombongannya bersama para pegawai kerajaan Palestin di Gaza.
Malangnya, Nadir dan Naeem dikasari dengan dihalang merakam serta mengambil video Ebit Liew bersama rombongannya.
Malahan dikatakan Nadir yang duduk bersebelahan Ebit Lew kerana diminta oleh wakil kerajaan Palestin, langsung tidak ditegur sapa oleh Ebit malahan didatangi lagi ‘bodyguard’ nya untuk meminta dipadamkan semua gambar tu serta video yang diambil oleh Naeem tadi.
3 hari di Gaza tiada makna
Kehadiran Ebit Lew di Gaza juga dikatakan meresahkan pasukan tempatan yang mengurus rombongan Ebit apabila minta dilaksanakan beberapa projek yang tidak masuk akal dalam masa yang singkat.
Pengumuman Ebit Lew untuk membuka rumah anak yatim di Gaza turut menjadi persoalan kerana ia bertentangan dengan budaya setempat yang tidak membenarkan anak yatim tinggal di rumah anak yatim tetapi dijaga oleh keluarga besar mereka.
Ebit Lew sanggup bayar mahal untuk layanan istimewa
Tindakan Ebit Lew mengenepikan organisasi tempatan Miles of Smiles yang menjadi perantara untuk NGO dari seluruh dunia memasuki Gaza dilihat akan memberi kesan besar kepada NGO lain selepas ini.
Amaun yang besar telah dibayar rombongan Ebit Lew kepada sebuah syarikat untuk mendesak kerajaan Mesir melepaskan rombongan mereka masuk ke Gaza dengan bayaran lebih dari 1200 dolar untuk seorang beserta layanan VIP.
Ebit Lew dipersoal intergriti dan ketelusan
Nadir membangkitkan persoalan sekiranya Ebit Lew sedia memberi penerangan segala perbelanjaan ratusan ribu dolar yang dibayar kepada syarikat Hala untuk penginapan dan barangan yang masih tersekat di sempadan Gaza-Rafah itu daripada wang sumbangan orang ramai atau wang perbelanjaan sendiri.
Ebit Lew dan pasukan rombongannya juga didesak supaya berani tampil memberi penerangan dan penjelasan supaya tidak menimbulkan syak wasangka serta fitnah kepada pihak-pihak lain.
“Seruan saya kepada pihak Tim EL, beranilah tampil untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang beberapa perkara yang disebutkan daripada melihat jutaan netizen mencipta fitnah dan bertelagah sesama sendiri”.