Menteri Kewangan dan Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz jangka ekonomi negara akan tumbuh pada kadar sekitar 4.0 peratus tahun ini.
Dalam temu bual bersama Bloomberg TV pada awal Isnin, beliau menjangka kerajaan akan menyemak turun keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara selepas lebih banyak data diterima.
“Kami masih mengkaji (KDNK) kepada jumlah yang lebih rendah dan angka sebenar akan diumumkan selepas dapat lebih banyak data,” katanya.
Terdahulu kerajaan umum yang ia akan semak kadar KDNK negara yang ketika ini diunjur tumbuh 6 peratus ke 7.5 peratus tahun ini.
Bank Dunia sebelum ini menyemak turun KDNK negara kepada 4.5 peratus selepas mengambil kira langkah kawalan yang diambil untuk menyekat penularan COVID-19 di Malaysia.
Tengku Zafrul dalam masa yang sama turut menjangka had hutang negara mungkin dinaikkan daripada 60 peratus semasa kepada 65 peratus untuk membolehkan kerajaan meminjam bagi membiayai pelan bantuan ekonomi.
Jelasnya, Pelan Pemulihan Negara adalah pelan yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik ikut keperluan semasa.
Sementara itu, dalam kemas kini di akaun Facebooknya, Zafrul menjelaskan yang Malaysia perlu sentiasa tangkas dan bersedia untuk meminda perancangan berdasarkan situasi semasa.
Menurutnya, ini harus dilakukan dengan mendengar nasihat pakar dalam bidang masing-masing.
Tambahnya, ketika ini tiada penyelesaian mudah atau sempurna untuk negara keluar daripada belenggu ini dan kerajaan akan berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan semua.
Jelasnya, ketika ini bukan mudah untuk menangani cabaran pandemik COVID-19 terutama dengan kemunculan varian baharu.
Namun Zafrul, mengambil contoh kadar vaksinasi yang kini melepasi 300,000 dos sehari, menyatakan kerajaan akan berusaha memastikan kadar vaksinasi terus meningkat dan imuniti kelompok dicapai secepat mungkin.
Tegasnya, ketika ini strategi yang lebih agresif termasuk ‘lockdown’ kawasan terjejas COVID-19, saringan besar-besaran dan peningkatan kapasiti ICU turut dilakukan sebagai strategi bersasar untuk mengoptimumkan sumber berdasarkan fakta dan data.
Tegasnya, ketika ini tidak timbul soal pilih kasih dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat, menerusi pemberian bakul makanan di bawah Program Prihatin Kasih.
“Tidak timbul soal memilih bulu dalam menyampaikan bantuan kerana peruntukan ini diberikan kepada semua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang,” jelasnya dalam kemas kini tersebut.
Tambahnya, beliau yakin rakyat Malaysia akan bersama-sama bangkit mengatasi cabaran ini seperti krisis sebelum ini melalui ketahanan dan semangat kerjasama.