Sekurang-kurangnya 44 orang maut selepas dihimpit dalam satu kejadian rempuhan sewaktu satu festival keagamaan berlangsung di Israel pada 30 April.
Puluhan ribu penganut Yahudi sebelum itu berkumpul di kawasan perkuburan Gunung Meron bagi peringatan ulang tahun Lag B’Omer yang merangkumi upacara doa dan tarian sepanjang malam.
Mereka berkumpul walaupun terdapat amaran awal oleh pegawai kesihatan bagi mengelakkan risiko dijangkiti COVID-19.
Saksi berkata, mereka ternampak orang ramai mengalami sesak nafas dan dipijak ketika penganjur memohon agar orang ramai bersurai.
“Kami fikir mungkin ada amaran (bom) mengenai bungkusan yang mencurigakan. Tiada siapa boleh bayangkan apa yang berlaku di sini. Kegembiraan menjadi kegelapan yang mendalam,” kata seorang peserta yang bernama Titzhak.
Upacara keagamaan Lag B’Omer di Gunung Meron dianggap sebagai salah satu perhimpunan besar diadakan di Israel sejak wabak koronavirus melanda lebih setahun lalu.
Gambar: menunjukkan upacara Lag B’Omer di Gunung Meron dianggap sebagai salah satu perhimpunan
besar diadakan di Israel sejak wabak Koronavirus melanda lebih setahun lalu. – Foto Reuters
Perkhidmatan ambulans Magen David Adom memaklumkan 103 orang cedera manakala puluhan lagi maut dalam insiden itu. Stesen Televisyen Channel 12 Israel meletakkan angka korban awal sebanyak 38 mangsa namun angka dijangka terus meningkat.
Susulan itu pihak polis menutup kawasan tersebut.
Kawasan perkuburan itu dianggap sebagai salah sebuah tempat paling suci penganut Yahudi dan ia menjadi antara tumpuan ziarah tahunan mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan kejadian itu sebagai ‘bencana berat’ sambil mendoakan kepada mangsa korban.
Sumber: @astroawani
Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia
Email NextStepMalaysia: [email protected]