Realtime website trackingweb stats

Kisah hidup seorang seniman yang bernama Mak Dara

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Ketika P. Ramlee ingin mencari pelakon untuk filem Ibu Mertua Ku, beliau mahu Mak Dara sendiri yang melakonkan watak Nyonya Mansur. Pada mulanya Mak Dara menolak tawaran itu kerana dia bimbang tak dapat bawa watak itu dengan baik dan tak mahu menyusahkan P. Ramlee.

P. Ramlee tetap berkeras ingin mengambil Mak Dara berlakon di bawah arahannya.

Kata P. Ramlee: “Tentang kebolehnya berlakon sebagai ibu mertua itu, Mak Dara nombor wahid, chuma perkara hendak menghafalkan senikata2-nya itu sebagai hendak mengasah parang yang berkarat”

Oleh kerana melihat P. Ramlee bersungguh-sungguh mahukan khidmat lakonannya, Mak Dara bersetuju untuk menerima tawaran itu. Filem Ibu Mertua Ku adalah filem arahan P. Ramlee yang paling lama untuk disiapkan iaitu 6 bulan.

Mak Dara tidak boleh membaca kerana dia buta huruf. Untuk berdialog, dia akan diajar dan berlatih dengan penolong pengarah
S. Sudarmadji.


S. Sudarmadji akan melukis simbol-simbol pada setiap dialog untuk memudahkan Mak Dara menghafal dan belajar tinggi rendah tonasinya serta gerak tubuh yang sesuai dalam sesebuah babak.

Kehebatan lakonan Mak Dara amat teserlah dalam filem tersebut. Apabila disebut nama Mak Dara atau NYONYA MANSUR, pasti ramai akan terbayang wataknya yang kejam itu. Ia telah menjadi salah satu watak cult dalam sejarah perfileman Melayu.

Mak Dara mula berlakon di pentas bangsawan sebagai penari. Selepas banyak kumpulan bangsawan gulung tikar, seperti anak wayang lain Mak Dara beralih angin ke layar perak. Sebagai pelakon bebas yang tidak terikat dengan mana-mana studio, Mak Dara telah berlakon dalam 26 buah filem.

Filem-filem lakonan Mak Dara:

  • Ibu Tiri (1941), Berdosa (1951)
  • Norma (1951), Perkahwinan Rahsia (1951)
  • Penarek Becha (1955)
  • Anak-Ku Sazali (1956)
  • Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang (1961)
  • Singapura Dilanggar Todak (1961)
  • Sri Mersing (1961)
  • Lela Satria (1961)
  • Yatim Mustapha (1961)
  • Puteri Gunong Ledang (1961)
  • Siti Zubaidah (1961)
  • Jalak Lenteng (1961)
  • Ibu Mertua Ku (1962)
  • Tun Fatimah (1962)
  • Siti Payong (1962)
  • Mabok Kepayang (1962)
  • Tangkap Basah (1963)
  • Ibu Ayam (1963)
  • Rumah Itu Dunia Aku (1963)
  • Darah Muda (1963)
  • Budi dan Dosa (1963)
  • Jeritan Batin (1964)
  • Aksi Kuching (1966)
  • Mat Toyol (1969)

Mak Dara meninggal dunia di Singapura pada 16 Februari 1970 akibat sakit tua. Tarikh 16 Februari itu juga merupakan hari lahirnya. Mak Dara meninggal dunia pada usia 63 tahun. Ramai sahabat seperjuangannya turut menyatakan kesedihan mereka di atas pemergian Mak Dara.

Itu sahaja cerita mengenai Mak Dara. Walaupun beliau buta huruf tetapi sangat berbakat dan kegigihannya sungguh luar biasa. Disebabkan oleh itu P Ramlee sangat menghormati beliau.

Terima kasih sudi membaca sampai ke penghujung cerita.

Penulis Asal: akaun Twitter @danialazizahmad
Sumber Gambar: @repairgambarlama & @danialazizahmad

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
Email NextStepMalaysia: [email protected]